Hiburan
"Saya Cuma Tak Mahu Orang Bosan" - Kamal Adli
Pelakon Kamal Adli enggan menerima watak yang sama kerana tak mahu peminat bosan.
Kata Kamal, dia mencuba untuk mempelbagaikan karakter bagi mewujudkan variasi dalam lakonan.
"Alhamdulillah, tahun ini rezeki tak pernah putus. Selesai sahaja satu drama, saya terus menerima tawaran lain.
"Tetapi, saya juga harus memastikan karakter yang dijayakan tidak sama seperti yang pernah saya bawakan.
"Saya cuma tak mahu peminat bosan. Apapun, saya gembira dan bersyukur kerana rezeki saya dalam bidang ini masih murah," kata Kamal.
Tambah Kamal lagi, dia gembira kerana drama bersiri Setelah Terlafaznya Akad (STA) yang sedang bersiaran di slot Megadrama Astro Ria mendapat sambutan baik.
"Sebenarnya, saya sering membaca respon peminat, lebih-lebih lagi ketika drama saya sedang bersiaran. Saya mahu tahu apa yang diperkatakan oleh mereka di luar sana dan perkara terbabit boleh menjadi salah satu cara untuk saya membuat penambahbaikan dalam lakonan.
"Alhamdulillah, setakat ini saya mendapat maklum balas yang positif menerusi karya STA. Drama bersiri ini sendiri mempunyai jalan cerita yang baik dan saya senang bekerjasama dengan Uqasha Senrose selaku gandingan utama," katanya lagi.
Drama bersiri arahan Michael Ang ini merupakan adaptasi novel judul sama karya hebat penulis Ana Milia.
Selain Kamal dan Uqasha, drama bersiri ini turut dibintangi oleh Zul Helmy, Zeera Azizi, Alif Muhaimin, Erwin Dawson, Sharifah Shahora dan ramai lagi.
Jangan lupa saksikan drama bersiri Setelah Terlafaznya Akad setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).
Gunakan hashtag #SetelahTerlafaznyaAkad untuk berinteraksi mengenai drama bersiri ini di laman sosial anda!