Bapa kepada tiga beradik mangsa lemas di Sungai Terengganu tidak mampu mengiringi jenazah anak-anaknya ke tanah perkuburan.

Mohd Ismail, 64, berkata, selama empat tahun dia yang sering menghantar jenazah lain ke tanah perkuburan dan tidak menyangka kali ini melibatkan anak-anaknya sendiri.

"Sejak bekerja membawa kenderaan jenazah, saya sudah menghantar hampir 40 jenazah ke tanah perkuburan.

Namun kali ini, saya tidak ada daya untuk berbuat demikian... semangat saya menjadi lemah," luah Mohd Ismail yang kehilangan tiga anak, iaitu Umar Iskandar, 21; Khairil Firdaus, 17; dan Khalif Naim, 16, dalam tragedi lemas ketika mandi di Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong, kira-kira jam 6.30 petang semalam (Rabu).

Mohd juga tidak dapat menahan sebak tatkala melihat tiga keranda anaknya di ruang tamu rumah.

"Saya reda kerana orang kata bahawa mati lemas menjadi syahid dan hadiah untuk mak ayah. Di sebalik yang buruk, ada baiknya," katanya.

Di laman sosial, rata-rata wargamaya bersimpati dengan dugaan menimpa Mohd Ismail yang kehilangan tiga anak lelakinya sekelip mata.

Apatah lagi tragedi yang meragut nyawa tiga anaknya itu berlaku pada hari ketiga Syawal.

Lebih memilukan apabila sekeping foto Mohd Ismail sedang menanti ketiga-tiga anaknya memakai baju Melayu sedondon yang dipakai mereka ketika Aidilfitri lalu.

Dalam laporan media sebelum ini ada menyatakan tiga beradik tersebut sengaja memilih untuk berpakaian sedondon pada Aidilfitiri tahun ini selain mengajak bapanya berpelukan ketika bergambar.