"Saya Dah Janji Depan Kadi, Selepas Ceraikan Dia Saya Akan Jaga Sampai Hujung Nyawa" - Cef Wan

Amri Hassan
Mei 28, 2020 03:23 MYT
"Saya simpan janji-janji itu selama 33 tahun!" demikian ikatan yang termeterai antara Datuk Cef Wan dan bekas isterinya, Norhayati Ayub selepas bercerai pada 1986.
Membuka semula kisahnya bersama Norhayati, kata Cef Wan, mengotakan janji-janjinya selepas melafazkan cerai adalah perkara terbaik yang dilakukannya sehingga bekas isterinya itu menghembuskan nafas terakhir pada Mac lalu.
Janji Cef wan, dia enggan bekas isterinya itu hidup melarat selepas dia melepaskannya.
"Memahami hidupnya pernah melalui fasa kesusahan, hati saya tak sampai untuk melepaskan dia macam tu sahaja tanpa menjaga kebajikan beliau.
"Jadi, saya berjanji selepas menceraikannya di hadapan kadi di Kuang yang saya takkan mensia-siakan hidupnya dan akan menjaga kebajikannya sehingga ke hujung nyawanya sampai ke liang lahad.
"Mungkin saya ada perasaan belas kasihan dan empati kepadanya dan tak nak hidupnya melarat apatah beliau adalah ibu kepada anak-anak saya," ujarnya.
Selepas bercerai selepas empat tahun berkahwin, Cef Wan akui mereka masih berkawan malah membelikan sebuah rumah buat bekas isterinya berdekatan kediamannya.
"Saya belikan dia apartmen yang jaraknya cuma 2 minit dari penthouse saya.
"Setiap bulan saya akan pastikan dia mendapat RM5,000 untuk elaun makan dan saya terus menjaga rumahnya, pakaiannya dan lain-lain.
"Cakap saya apa yang dia mahu dan saya akan mewahkan dia selagi saya mampu," kata Cef Wan lagi.
Norhayati meninggal dunia di Hospital Ampang akibat komplikasi buah pinggang dan jantung pada 18 Mac lalu.
#cerai #Bekas Isteri #Chef Wan