Hiburan
"Saya Dah Kenal Lama Dengan Dia, Tapi..." - Fahmy Reza Akui Rapat Dengan Joy Revfa
Pelakon Fahmy Reza mengakui dirinya sedang dalam proses menyelami hati budi usahawan kosmetik popular, Joy Revfa.
Fahmy atau nama sebenarnya, Sheikh Zulfahmy Reza Sh Ab Ghani, 29, mendedahkan dirinya sudah lama mengenali Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Mphd Amin, 32.
"Sebenarnya, saya memang sudah lama mengenali Joy kerana kami sekampung. Saya dan Joy berasal dari Kuantan, Pahang.
"Tapi, kami baru sahaja rapat baru-baru ini. Saya senang berkawan dengan Joy dan selesa berdampingan bersamanya.
"Seandainya kami ditakdirkan berjodoh, saya tak akan menolaknya dan menerima ketentuan itu dengan berlapang dada," kata Fahmy.
Pelakon drama bersiri Dia Semanis Honey ini ditemui di majlis tayangan perdana filem Kingdom di MmCineplex, e@Curve Damansara malam tadi.
Mahu mengelak daripada terus berbicara berkenaan isu peribadi, Fahmy mahu dikenali dengan kerjayanya sebagai seorang aktor.
"Saya enggan memberi komen lanjut, bimbang berlebih-lebih kerana kami dalam proses mengenali hati budi masing-masing.
"Buat masa ini, senang untuk saya katakan kami rapat dan sedang berkenalan.
"Lagipun, saya mahu dikenali dengan bakat lakonan berbanding hubungan peribadi dan mahu mengukuhkan nama dalam industri hiburan.
"Insya-Allah, jika kami mahu bergerak ke satu fasa yang lebih serius, perkara yang baik akan kami hebahkan," katanya.
Baru-baru ini, nama Fahmy terkait dengan usahawan kosmetik popular itu selepas Joy sering berkongsi foto bersama seorang jejaka misteri.
Biarpun wajah jejaka itu ditutup dan dikaburkan oleh Joy, ramai yang meneka jejaka yang dimaksudkan ialah Fahmy.
Sebelum ini, nama Joy menjadi sebutan berikuatan kontroversi perkahwinannya dengan penyanyi Hafiz Hamidun.
Joy pernah berkahwin dengan Hafiz pada 1 Mei 2017 dan mereka disahkan bercerai talak satu pada 25 Oktober 2017.
Joy pernah berkahwin sebelum ini dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Arryan Firdaus yang kini berusia lima tahun.
Must-Watch Video