"Saya Dah Lama Susah Sebelum PKP Lagi Tak Minta Bantuan Pun" - Mohd Mentor Gembira Bawa Grab Kalau Tiada Job

Amri Hassan
Mac 31, 2020 04:08 MYT
Juara program realiti Mentor 4, Mohd akui seronok untuk terus bekerja sebagai pemandu e-hailing Grab ketika ketandusan tawaran menyanyi.
Jelas Mohd, dia perlu terus mencari rezeki untuk menyara kehidupan keluarganya tanpa perlu meminta bantuan daripada sesiapa.
"Saya Mohd juara Mentor 4, okay. Saya ni artis tetapi saya tidak meminta minta pun bantuan dekat kerajaan kerana saya sedar ada orang lebih layak lagi memerlukan bantuan.
"Walaupun kehidupan ini tidak selalunya indah itu yg membuat saya terus berusaha mencari rezeki untuk keluarga kerana saya masih mampu lagi dan kuat.
"Kadang-kadang bila tiada job untuk show, saya akan buat e-hailing seperti Grab, Mycar dan sebagainya.
"Saya tak malu pun bawa Grab sebab rezeki itu ada dimana-mana yang penting usaha," kongsinya menerusi entri di Instagram.
Tambah Mohd lagi, keseronakannya berganda apabila ada antara penumpang kenderaannya yang mengenalinya.
"Seronok bawa e-hailing ni jumpa macam-macam orang.
"Kalau ada penumpang nak saya menyanyikan lagu boleh je yang penting anda terhibur dan sampai ke destinasi yang hendak dituju. Jangan lupa bagi 5 bintang ya," ujarnya.
Berpegang pada prinsip terus membumi, kata Mohd, hidup ini umpama roda yang berpusing.
"Hidup ini jangan sombong, tak rugi pun rendah diri kerana kehidupan ini ibarat roda yg berpusing. Kadang diatas kadang dibawah.
"Orang cerdik boleh salah, orang pintar boleh gagal dan orang hebat pun boleh jatuh.
"Arwah abah saya pernah pesan , kalau tak boleh memberi jangan la kita meminta-minta cuba berusaha dulu inshaAllah akan dipermudahkan," kata Mohd.
Kesusahan yang ditanggung Mohd itu bukan baru, malah kata penyanyi yang popular dengan lagu Segalanya itu kepayahan itu menjadikannya lebih bersyukur.
"Saya dah lama gile susah sebelum PKP lagi tak pernah pun minta "bantuan khusus".
"Terima kasih kerajaan Malaysia duit keluarga dapat, e-hailing dapat dan macam-macam lagi itu pun dah bersyukkur sangat.
"Bersyukur akan membawa kita kepada jalan kemudahan," tambahnya.
Pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!
#Grab #PKP #Mohd Mentor 4