Penyanyi Hael Husaini menegaskan dia tidak mahu memikirkan isu dakwaan berhibur di sebuah kelab hiburan gay di Itaewon, Korea Selatan semasa berada di sana sekitar November tahun lalu.

Menurut Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, 34, dia tidak dapat menjelaskan perkara sebenar yang berlaku di Korea memandangkan dia terikat dengan perjanjian penggambaran sebuah program hiburan.

“Sebenarnya benda tu sebab orang tak tahu kenapa kita berada di sana sebab kita tak dibenarkan beritahu apa tujuan kita berada di sana. So pada saya benda tu dah terungkai hari ni.

“Takpe la, sepanjang saya berada di sana, saya pun tak nak fikir sangat dan saya nak fokus pada Master In The House sahaja,” ujar Hael ketika ditemubual.

Hael ditemui ketika pelancaran program terbaharu Master In The House Malaysia yang diadakan di Petaling Jaya Performing Arts Centre, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

Ekoran daripada dakwaan itu juga, pengurus kepada Hael Husaini dikatakan akan mengambil tindakan terhadap fitnah yang dilemparkan terhadap pelantun lagu Kelentang Kelentung itu.

“Pasal saman-menyaman, saya tak tahu. Benda-benda yang berlaku itu saya rasa saya dah serahkan pada pihak pengurusan jadi mereka lebih pakar.

“Saya harus fokus kat sana sebab sepanjang shooting tu daripada pagi ke pagi dan ia memerlukan tumpuan,” ujarnya lagi.

November tahun lalu, seorang pelajar Malaysia yang menuntut di sana dikatakan memfitnah penyanyi terbabit berhibur di sebuah kelab hiburan gay di Itaewon.

Bukan itu sahaja, Hael turut difitnah berhibur tanpa menjalani tempoh kuarantin sebaik tiba di negara tersebut.