Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
VIRAL

"Saya Dengar Ibu Gajah Menangis, Dapat Rasa Ia Sedang Meratapi Kehilangan Anak" - Saksi

Amri Hassan 13/05/2025 | 03:43 MYT
Meskipun kejadian telah berlalu lebih 24 jam, kisah menyayat hati seekor ibu gajah yang setia menanti anaknya yang mati akibat dilanggar lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli pada awal pagi Ahad masih terus menyentuh perasaan rakyat Malaysia.
Seorang pengguna Facebook, Mohd Amir Faizal, dalam satu siaran langsung pagi Isnin, berkongsi pengalamannya ketika kejadian berlaku. Beliau berkata ketika itu sedang melakukan rondaan pemantauan keselamatan di kawasan berkenaan dan terdengar dengan jelas tangisan ibu gajah tersebut.
“Kalau lihat pada bahagian hadapan lori, memang ada kerosakan. Tapi kerosakan itu berpunca daripada tindakan ibu gajah yang menolak lori tersebut berulang kali kerana cuba menarik keluar anaknya.
“Ibu gajah terus mencuba, berkali-kali, sebab ketika itu anaknya masih hidup. Tapi ia tidak mampu menolak lori itu kerana terlalu berat. Itulah ‘seorang’ ibu, tetap berusaha melakukan yang terbaik demi anaknya,” katanya dalam siaran langsung berdurasi kira-kira 45 minit.
Menurut Mohd Amir, selepas pihak Jabatan Perhilitan memberikan ubat penenang kepada gajah tersebut, kaki dan lehernya perlu digari. Ketika itu, dia membantu menutup mata haiwan itu dengan kain agar ia tidak sedar apa yang sedang dilakukan terhadapnya.
“Masa saya letakkan tangan menutup mata gajah, saya dapat rasakan kesedihannya. Saya menggosok badannya agar tidak agresif kerana saya dapat merasakan emosi ibu gajah yang sedang meratapi kehilangan anak.
“Saya sendiri tidak dapat menahan air mata melihat detik itu,” katanya dipetik Bernama.
Tambahnya lagi, detik paling menyayat hati ialah apabila ibu gajah tersebut meletakkan kepalanya ke dinding lori dalam keadaan lemah selepas diberi ubat penenang, seolah-olah sedang meratapi nasib anaknya yang sudah tiada.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhilitan Perak, Yusoff Shariff, mengesahkan bahawa video yang tular pada Isnin yang mendakwa ibu gajah itu kembali ke lokasi kejadian bukanlah video gajah yang sama.
Menurut beliau, setakat ini ibu gajah berkenaan telah pun kembali ke hutan dan dipercayai telah menyertai kumpulannya semula.
“Tentang video tular yang dikongsi, kami percaya ia bukan video memaparkan gajah yang sama, kerana gajah betina jarang keluar secara solo, ia akan keluar berkumpulan.
"Kita memang ada kakitangan yang meronda di sekitar kawasan tersebut. Setakat ini tiada laporan rasmi diterima, namun saya ada lihat di TikTok orang ramai kongsikan kehadiran gajah di kawasan itu,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Yusoff turut memaklumkan bahawa bangkai anak gajah jantan itu telah pun ditanam di lokasi yang tidak didedahkan.
#Viral #Kemalangan #Menangis #Gajah #Tragedi #PERHILITAN #Saksi #Langgar #Gerik #Lori Ayam