Pelakon terkenal Syafie Naswip mengakui sangat tertekan dengan berita yang disebarkan dan perkara terbabit menyebabkan dirinya diserang dengan pelbagai tohmahan daripada warganet.

"Ketika itu saya dan adik saya mengusahakan perniagaan kecil-kecilan menjual jeruk yang kami panggil MaBoi. Tapi apabila laporan tersebut tersebar, saya jadi malu untuk berjumpa dengan orang.

"Perniagaan yang dijalankan untuk menampung saat-saat tidak ada 'job' terpaksa dihentikan kerana saya yang sepatutnya menghantar kepada pelanggan, tapi saya tidak mampu berdepan dengan mereka," kata Syafie kepada Gempak.

Tambah bintang filem Mukhsin ini lagi, dia juga hampir kehilangan tugas pengacaraan untuk satu stesen televisyen kerana mereka bimbang dengan tuduhan yang dilemparkan.

"Mujur pengurus saya meyakinkan kepada pihak produksi bahawa saya boleh melakukan tugas tersebut dan kes tersebut tidak akan mengganggu jadual penggambaran," tambah Syafie lagi.

Menurut Syafie, dia mendapatkan nasihat peguamnya, Muhammad Ashraff Mohd Diah daripada Ashraff Al-Hirzan & Associates dan beliau mencadangkan untuk membuat laporan polis.

"Saya bersama peguam saya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 5 Ogos lalu untuk membuat laporan polis mengenai tuduhan yang tular di semua media dan portal yang menuduh saya mengamalkan hubungan sejenis.

"Tuduhan itu timbul daripada laporan polis yang dibuat oleh pihak satu lagi. Jadi saya memohon agar pihak polis dapat membuat siasatan terhadap fitnah tersebut di bawah kanun keseksaan," tambah Syafie.

BACA: "Saya Bersyukur Dan Rasa Lega, Tapi Tidaklah Sampai Nak Melompat" - Syafie Naswip Gembira Tiada Kes

Pihak Gempak turut menghubungi peguam yang mewakili Syafie untuk mendaparkan komen berkenaan isu ini.

"Pihak kami menasihati Syafie untuk membuat laporan polis terhadap tohmahan dan fitnah terutamanya berkenaan isu beliau mengamalkan hubungan songsang.

"Jadi, pihak kami serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat berkenaan perkara tersebut di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574)," kata Ashraff.

Syafie Naswip bersama peguamnya, Muhammad Ashraff Mohd Diah daripada Ashraff Al-Hirzan & Associates

Syafie membuat laporan polis di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) Seksyen 499 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali di bawah seksyen 500.

Sebelum ini, Syafie dan pelakon Aishah Azman bertunang pada satu majlis yang diadakan pada 7 April 2019 bertempat di Forest Valley Hall, Cheras.

Namun, kedua-dua pasangan itu mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangan pada 21 Julai tahun yang sama.

Tidak sampai seminggu tali pertunangan putus, Aishah membuat laporan polis mengatakan dirinya dibelasah (bekas) tunangnya kerana berang apabila dia memintanya memutuskan hubungan songsang dengan kenalannya.