Usahawan kosmetik, Eriyca Baiduri atau mesra dengan panggilan Madammu bakal bongkar sisi berbeza diri dan kehidupannya dari media sosial ke dalam TV menerusi program Diari Madammu.

Malah Madammu memberitahu dalam program itu juga secara eksklusif dia bakal berkongsi cabaran melakukan persenyawaan in vitro (IVF) serta sepanjang proses kehamilannya.

"Sebenarnya, Diari Madammu ini diterbitkan untuk memberi inspirasi kepada para wanita di luar sana. Rancangan ini mengisahkan tentang kehidupan seorang usahawan, ibu dan perjalanan saya menjalani proses IVF.

"Semua pun tahu selama ini, saya hanya berkongsi kisah saya di media sosial sahaja. Jadi, kali ini saya memutuskan untuk mengambil satu langkah baharu untuk berkongsi di platform yang lebih luas.

"Kalau nak tahu, tak semua perkara saya kongsikan di media sosial. Banyak lagi perkara yang orang tak tahu tentang diri saya. Jadi, apa yang saya simpan itu akan saya paparkan di televisyen lebih-lebih lagi mengenai rutin anak-anak," katanya kepada Gempak.

Madammu ditemui Gempak ketika sidang media khas Diari Madammu yang berlangsung di The Colony, Star Boulevard, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berkongsi mengenai pengalamannya menjalani penggambaran program berkenaan, pengasas Noir & Beauty itu memberitahu ia bukan mudah lebih-lebih lagi dalam keadaannya yang sedang hamil.

"Sebenarnya nak nampak real ketika penggambaran itu tidak mudah. Kalau buat 'live' di media sosial, saya hanya akan bawa telefon sahaja. Jadi, bila shooting dengan orang production, nak jadi real itu agak sedikit mencabar.

"Mula-mula itu agak kekok juga tapi lama- kelamaan, saya dah mula biasa. Cuma, ada
kalanya saya agak penat. Mungkin saya ini dilahirkan bukan untuk menjadi seorang
selebriti. Namun, syukur segalanya berjalan lancar.

"Team production memang akan sentiasa dalam mode standby. Bila keadaan saya okay, kita akan jalankan penggambaran. Kalau tak okay, kita kena berehat.

"Saat paling mencabar adalah ketika trimester pertama. Ketika itu, saya kena banyak 'bed rest'. Di trimester kedua, keadaan saya dah kembali okay dan aktif semula,” kongsinya lagi.

Madammu berkahwin dengan duda anak tiga iaitu Muhammad Azri Che Noh di usia 25 tahun. Wanita itu menggelarkan suaminya sebagai TP iaitu Tuan Penasihat. Tiga orang anak tirinya bernama Zahara, Qally dan Ahmadhi.

Menariknya, Diari Madammu yang keseluruhannya mempunyai enam episod itu bakal memaparkan proses kelahiran cahaya mata pertama usahawan itu selepas lapan tahun penantian.

"Penggambaran agak panjang sehingga mengambil masa selama enam bulan kerana kondisi saya yang berbadan dua.

"Malah kini team production juga sudah seperti 'doktor on-call'. Kalau saya nak bersalin, mereka akan bergegas ke hospital untuk rakamkan momen kelahiran anak saya," kongsinya lagi.

Diari Madammu bakal bersiaran bermula pada 3 Jun ini di Astro Ria setiap hari Sabtu jam 10 malam.