Umum mengetahui pereka fesyen tersohor, Datuk Rizalman Ibrahim telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan telah menandatangani surat pelantikan di Pejabat Menteri Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya semalam.

Sejurus itu, sidang media secara maya diadakan hari ini untuk mendapatkan perkongsian lanjut Rizalman mengenai pelantikan tersebut.

Menurut Rizalman, beliau tidak pernah menjangka akan diberikan tanggungjawab menggalas jawatan berkenaan.

Meski demikian, beliau mengaku sudah lama mempunyai impian untuk berbakti kepada anak bangsa.

"Saya tak pernah jangka akan dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah, tetapi secara telus, saya sudah lama mempunyai impian untuk berbakti kepada anak bangsa.

"30 tahun lalu, saya menuntut ilmu di sana (ketika itu dikenali sebagai Institut Pengajian Mara (ITM), saya menyedari kelengkapan yang disediakan ketika itu sangat mencukupi untuk pengajian saya sedangkan bayaran yang dikenakan bukanlah mahal.

"Jadi, saya amat bersukur kerana berpeluang untuk kembali di UiTM dan menyumbangkan jasa dalam bidang pendidikan," katanya dalam temu bual secara maya bersama media sebentar tadi.



Tambah Rizalman, beliau menyedari terdapat banyak perubahan yang berlaku merentas zaman, justeru, dirinya memandang kepada aspek penggabungan elemen tradisional dan moden.

"Sejak 30 tahun lalu saya tamat menuntut ilmu di ITM, sudah tentu banyak perubahan yang berlaku, pelajar zaman sekarang sudah ada platform media sosial.

"Saya tak mahu tergesa-gesa mengenai perkara ini, bagi saya, elemen tradisional harus digabung dengan perubahan zaman kini," katanya lagi.

Sementara itu, Rizalman sempat berkongsi tentang perkara yang mencetuskan semangatnya untuk berjaya ketika di usia muda dahulu.

"Saya bukan dilahirkan dalam keluarga senang, walaupun ketika itu saya orang susah, tetapi perangai 'Diva' itu sudah ada dalam diri.

"Saya dilahirkan sebagai 'Poor Royal', saya benar-benar mahu keluar dari kepompong kehidupan saya ketika itu, jadi saya usaha keras dan tak sabar untuk habis belajar di ITM," tambahnya.

Jawatan disandang Rizalman kini pernah dipegang usahawan muda Vivy Yusof yang juga Pengasas FashionValet dan dUCK Group yang dilantik pada 26 Mei 2019.

Walau bagaimanapun, pada 28 September lalu, UiTM telah membuat pengumuman menerusi posting di laman sosial rasmi Instagram mereka mengenai penamatan kontrak Vivy sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

Menerusi hantaran tersebut, UiTM telah memuat naik status penghargaan dan terima kasih kepada Vivy di atas khidmat bakti sebagai Ahli Lembaga Pengarah universiti berkenaan.

Kredit Foto : Instagram Datuk Rizalman