Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

“Saya Dilempar Begitu Banyak Fitnah, Dibuli Secara Siber” - Vivy Yusof Kenang Suka Duka 2 Tahun Kebelakangan Di Mekah

Izwan Isa
04/04/2022 01:50 MYT
Usahawan selebriti popular, Vivy Yusof kini sedang mengerjakan umrah dengan suaminya. Hal ini dapat dilihat menerusi rantaian perkongsiannya menerusi Instagram sejak beberapa hari lalu.

Menerusi sebuah hantaran, Vivy mengimbau kembali kenangan ketika mengikuti ibu dan bapanya sama-sama mengerjakan umrah sewaktu dia masih lagi kecil. Dalam hantaran sama, Vivy berkongsi bagaimana dirinya merasai suasana yang tenang ketika berada di sana, selain membutirkan cabaran yang dilalui sejak dua tahun kebelakangan.

A post shared by Vivy Yusof (@vivyyusof)


“Semasa saya kecil, ibu bapa saya membawa saya ke Mekah dan saya akan melihat ibu menangis ketika solat di masjid ini (Masjidil Haram). Saya masih ingat yang saya berfikir: "Kenapa dia menangis, dia ok ke?"

“Nah, saya, seorang dewasa kini menangis melihat Kaabah. Ada sesuatu tentang keberadaan saya di sini yang menyentuh saya secara mendalam. Ia merupakan satu kontras yang luar biasa - ia begitu sesak di sini, namun kamu merasakan seolah-olah hanya kamu dan Allah SWT sahaja.

“Sini panas, tapi dalam diri berasa sejuk. Kamu sangat asing di sini, namun terasa bagaikan berada di rumah sendiri. Begitu ramai umat Islam dari seluruh dunia dengan bahasa dan budaya yang berbeza, namun kita semua nampaknya memahami antara satu sama lain di sini. Kami bersatu dalam doa, dan selama beberapa minit itu, semuanya senyap. Ia satu pengalaman yang sangat indah untuk dialami,” katanya menerusi kapsyen Instagram.

Vivy menjelaskan, setiap muslim pasti memahami perasaan tatkala melihat kain hitam di antara dua tiang masjid berkenaan. Tambah Vivy, semakin dekat jarak dirinya dengan Kaabah, semakin sebak dirinya ketika itu.

“Kamu akan mendapat kesempatan untuk merenung, bertaubat, meminta bimbingan. Saya berdoa untuk semua keinginan hati saya dan saya tidak mampu berhenti menangis. Dua tahun terakhir ini begitu sulit dengan survival kesihatan daripada COVID-19, bisnes dan kehidupan secara umum.

“Selain itu, saya dilempar begitu banyak fitnah, dibuli secara siber, dan luka pribadi yang hanya saya alami secara diam-diam. Orang ramai dan netizen yang telah menyakiti saya secara mendalam, saya tidak pernah melawan. Saya tetap kuat, tetapi sebagai manusia, kamu pasti terasa hati.

“Ini merupakan kesempatan saya untuk tangiskan semuanya, tetapi hanya kepada Tuhan. Air mata saya untuk Dia. Saya akan pulang lebih kuat dengan lega bahwa saya telah menyerahkan semuanya kepada Nya,” tulisnya lagi.

Dalam pada itu, Vivy turut berkongsi yang dia mendoakan supaya doa-doa pengikut Instagramnya dimakbulkan dan segala dosa-dosa dihapuskan oleh Allah SWT.
#Mekah #Umrah #Vivy Yusof #Masjidil Haram