Hiburan

"Saya Fikir Dah Nak Mati ..." - 8 Tahun Berhijab, Farah Asyikin Dedah Detik Awal Hijrah

gempak
Amri Hassan
13/02/2020
07:41 MYT
Sponsor Banner
"Saya Fikir Dah Nak Mati ..." - 8 Tahun Berhijab, Farah Asyikin Dedah Detik Awal Hijrah
Penyanyi Farah Asyikin mendedahkan dia pernah terbayangkan tentang kematian sebelum mula berhijab lapan tahun lalu.
Jelas pelantun lagu Kembali Lagi Disisimu itu, perjalanan hijrahnya bermula selepas pulang dari majlis pertunangan sahabatnya ketika waktu Maghrib.
"12 Februari genap lapan tahun. Saya sedang memandu pulang ke rumah dari pertunangan sahabat saya di Ampang. Ketika itu hujan lebat.
"Saya dalam keadaan menangis sambil cuba mengejar waktu solat Maghrib. Tiba-tiba saya rasa satu perasaan luar biasa. Saya pendosa dan fikir saya dah nak mati.
"Saya mengaku, saya leka dengan kehidupan saya sebelum ini. Tetapi doa kedua-dua ibu bapa saya yang mengubah diri saya hari ini," ceritanya dalam entri di Instagram.
Hijrahnya bermula selepas dia mendirikan solat sunat taubat nasuha dan setiap apa yang terjadi berkat doa daripada kedua ibu bapanya.
"Sesampai di rumah saya mandi dan berwuduk, mendirikan solat taubat nasuha dengan penuh hiba. Saya menyarung jubah hitam dan sehelai tudung sampai paras dada. Ia momen yang penuh emosional.
"Saya rasa ringan. Seperti hilang segala beban dan tidak terikat dengan sesiapa lagi. Saya milik Allah.
"Saya kemudiannya ke rumah keluarga saya. Abah ketika itu masih di atas sejadah dalam biliknya, saya bersalam dan memeluk Abah," tambahnya.
Ujar bintang Gema Gegar Vaganza 2018 itu lagi, tidak mudah untuk seseorang individu itu kekal istiqamah namun dia bersyukur ditetapkan iman dalam diri untuk menjaga aurat dan hijabnya.
"Ia tak mudah. Secara luarannya anda berhijab tetapi mungkin berdepan konflik dalam diri. Memikirkan tanggapan orang terhadap kita.
"Terus mencari ilmu, menjaga iman, mengawal nafsu dan bergaul dengan individu baik sekeliling. Kedengarannya senang tetapi sukar untuk dilakukan. Tetapi perkara ini yang membantu saya untuk istiqamah.
"Saya gembira dikelilingi individu yang menerima saya seadanya. Memasuki tahun kelapan, saya bersyukur saya masih berhijab. Allah tidak mahukan kesempurnaan tetapi Dia mahukan proses," kata Farah lagi.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live