Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

"Saya Habiskan Masa Sebulan Habiskan Baca Novel" - Sinje Lee Akui Teruja Diberi Watak Utama Dalam The Garden of Evening Mists

ZULHILMI JALIL
13/01/2020 11:12 MYT
Pelakon Sinje Lee mengakui teruja apabila diberikan peranan untuk menjadi tunggak utama dalam filem The Garden of Evening Mists.

Sinje, 44, berkata, ia merupakan filem tempatan kedua yang dibintanginya selepas Ice Kacang Puppy Love pada 2010.

"Sepanjang penglibatan saya dalam dunia lakonan, saya banyak membintangi filem luar khususnya di Taiwan dan Hong Kong.

"Jadi, apabila diberi peluang untuk membintangi filem ini, saya cukup teruja apatah lagi ia diadaptasi daripada sebuah novel yang cukup bagus," katanya kepada Gempak.

Menurut Sinje, bagi menjayakan wataknya sebagai Yun Ling, dia mengambil inisiatif untuk membaca keseluruhan novel karya Tan Twan Eng itu.

"Selepas saya diberikan skrip filem, saya merasakan ia sebuah naskhah yang cukup menarik lebih-lebih lagi apabila ia mengisahkan era zaman penjajahan Jepun.

"Saya mengambil masa sebulan untuk menghabiskan keseluruhan novel itu sebelum masuk ke set penggambaran. Secara tidak langsung, saya mendapat kefahaman yang lebih mendalam mengenai watak yang digalas," katanya.



TGOEM merupakan filem adaptasi novel hasil karya anak tempatan, Tan Twan Eng yang menggunakan tenaga produksi dari beberapa buah negara termasuklah, Malaysia, Taiwan, Jepun, Singapura, India, Australia dan United Kingdom.

BACA: The Garden of Evening Mists Menang Anugerah Rekaan Kostum & Solekan Terbaik, Anugerah Golden Horse ke-56

Antara nama besar lain yang menjayakan filem itu ialah Hiroshi Abe (After The Storm), Sylvia Chang (Love Education), David Oakes (Cold Skin), Julian Sands (The Girl With The Dragon Tattoo) dan John Hannah (The Mummy).

Filem yang mendapat sentuhan sutradara Taiwan, Tom Shu-Yu Lin itu menceritakan kesengsaraan kehidupan Teoh Yun Ling (lakonan Sinje Lee) akibat kekejaman Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu yang cuba mencari ketenangan di Cameron Highlands.

Bagaimanapun, sewaktu di sana, ketika dia berusaha untuk membina sebuah taman bagi menzahirkan penghormatan kepada adik perempuannya yang terkorban, dia menjalin hubungan cinta terlarang bersama seorang tukang kebun bernama Nakamura Aritomo (lakonan Hiroshi Abe).

TGOEM merupakan filem terbitan Astro Shaw dan HBO Asia yang mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan CJ Entertainment.

Filem tersebut bakal ditayangkan di pawagam bermula 16 Januari ini.

BACA: Baru Tengok Trailer Tapi Ramai Yang Dah Tak Sabar Nak Tonton The Garden Of Evening Mists, Filem Wajib Tengok Ni!
#Filem #Filem #The Garden of Evening Mists
;