Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

“Saya Hampir Putus Harapan Untuk...” - Sharifah Zarina Tampil Dengan Single Terbaru

Asraf Aided 11/07/2019 | 09:11 MYT

Penyanyi dan bekas peserta Gegar Vaganza musim pertama (GV1), Sharifah Zarina tampil dengan single terbaru berjudul Pernah Bahagia.

Menurut Zarina, dia bersyukur kerana masih berpeluang untuk kembali bergiat sebagai penyanyi setelah berdiam selama beberapa tahun dari industri.

“Alhamdulillah, saya masih berpeluang untuk menyanyi dan menghasilkan lagu, saya sendiri terkejut dengan perkara ini.

“Sebelum ini, saya hampir putus harapan untuk menyanyi, kadang-kadang saya tertanya-tanya sama ada nama saya masih relevan dalam industri muzik di Malaysia,” ujarnya.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Langit Ketujuh ini ditemui di majlis pelancaran single Pernah Bahagia bertempat di Berjaya Times Square Hotel semalam.

Dalam pada itu, Zarina menambah, kemunculan semulanya itu bermula dari pertemuan bersama komposer Sharon Paul pada sekitar bulan Ogos tahun lalu.

“Semua ini bermula apabila saya bertemu dengan Sharon secara tidak sengaja pada tahun lalu.

“Ketika itu, kami masing-masing berniaga di sebuah pusat beli belah, Sharon datang ke ‘booth’ saya untuk berbual.

“Tidak lama selepas perbualan itu, Sharon hubungi saya dan menawarkan lagu ini untuk dinyanyikan,” tambahnya.

Single Pernah Bahagia ini ditulis oleh Fedtri Yahya dan digubah oleh Sharon Paul.
Single ini telah dilancarkan di semua platform digital mulai 1 Februari lalu diikuti muzik video rasminya yang telah ditayangkan di YouTube.

#Penyanyi #Sharifah Zarina #Penyanyi #Pernah Bahagia
;