Pelakon Datuk Eizlan Yusof, 48, memberitahu dia hanya ada masa dua tahun untuk menamatkan zaman dudanya.

Eizlan berkata masa itu ditetapkannya sendiri selepas merasakan usianya sudah semakin lanjut dan tidak sesuai untuk berkeluarga.

"Sebenarnya saya hanya bagi masa pada diri saya dua tahun saja untuk berkahwin lagi kerana faktor usia saya.

"Saya target untuk berkahwin sebelum usia 50 tahun selepas itu jika tidak berjodoh dengan sesiapa, mungkin saya tidak akan memikirkan soal itu lagi," katanya kepada Astro Gempak.

Eizlan pernah berkahwin dengan Vie Santie Harun, 31, pada 7 Julai 2007 dan bercerai pada Februari 2015.

Pasangan ini telah dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Vie Zaara, Zareef Yusof dan Vie Zaalia.

Meskipun sudah bersedia untuk mendirikan rumahtangga sekali lagi, namun Eizlan memberitahu dia masih mempunyai rasa trauma selepas gagal dalam perkahwinannya sebelum ini.

"Sekarang ini, saya sudah beri peluang kepada diri saya sendiri untuk cuba berkawan dan mengenali orang baru.

"Malah saya sudah semakin banyak bersosial sekarang berbanding dulu. Kalau ada masa lapang, saya suka buat macam-macam aktiviti seperti menyelam dan sebagainya.

"Namun tak dinafikan, saya masih trauma untuk berkahwin lagi.

"Oleh sebab itu, saya kini lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup," katanya lagi.

Mengenai perkembangan lain, Eizlan bakal muncul dalam drama bersiri Dendam Aurora yang bakal ditayangkan mulai 25 Julai, jam 6 petang di saluran Astro Prima (105) dan Astro Maya HD (135).

Dendam Aurora yang merupakan drama adapatasi telenovela Itali yang bakal ditayangkan sebanyak 100 episod.

Karya yang diadaptasi daripada drama asal berjudul Tuscan Passion ini turut dijayakan barisan pelakon seperti Nabila Huda, Ungku Ismail, Shah Iskandar, Anzalna Nasir, Dian P. Ramlee, Zila Bakarin dan ramai lagi.

Teks oleh: Syafiqah Jalal