Laman Utama

"Saya Hidup Dengan Simpanan Yang Ada..."- Eric Floor 88 Dah 2 Bulan Tiada ‘Job’

gempak
Syafiqah Jalal
04/08/2021
00:50 MYT
Sponsor Banner
"Saya Hidup Dengan Simpanan Yang Ada..."- Eric Floor 88 Dah 2 Bulan Tiada ‘Job’
Anggota kumpulan Floor 88, Eric Fuzi mendedahkan bahawa dirinya sudah dua bulan hilang sumber pendapatan.
Eric yang juga pemain keyboard kumpulan itu berkata, dia kini hanya mengharapkan duit simpanan yang dikumpul untuk meneruskan kelangsungan hidup.
"Tiada siapa yang tidak terkesan dalam waktu sukar seperti ini. Cuma, apa yang membezakan adalah jumlah kerugian sama ada besar atau kecil.
"Sejujurnya saya sudah dua bulan hilang sumber pendapatan. Saya hanya hidup dengan apa saja simpanan yang saya ada selama ini," katanya ketika ditemui secara maya bagi mempromosikan telefilem Hutang 2D.
Menurut Eric, biarpun terkesan sepanjang pandemik Covid-19, namun dia cuba berusaha mencari rezeki dengan perniagaan MASOK Foodcourt yang diusahakan bersama rakan anggota Floor 88 yang lain.
"Jika diikutkan duit simpanan yang ada mungkin dapat tampung sekitar sebulan setengah saja lagi memandangkan komitmen bulanan yang perlu saya lunaskan agak tinggi.
"Dalam masa sama, saya juga berdepan cabaran untuk mengekalkan perniagaan yang diusahakan bersama rakan anggota Floor 88 yang lain,” ceritanya.
Eric memberitahu dia cuba untuk tidak meminta sebarang bantuan dari pihak lain, tetapi apa yang diharapkan adalah supaya industri seni kreatif dapat dihidupkan semula dan dia dapat bekerja dalam bidang utamanya.
"Selama ini saya tak pernah minta bantuan, malah sekarang ini pun saya tak minta mana-mana bantuan.
“Cuma saya minta agar industri seni dapat beroperasi semula dan kami boleh bekerja kerana saya memang dari kecil berkecimpung dalam bidang ini mustahil untuk saya bertukar bidang sekelip mata.
"Saya enggan merungut dalam keadaan sekarang kerana percaya satu Malaysia sedang mengalami masalah sama. Jadi, sama-sama kita berusaha dan mengharapkan negara segara pulih dari wabak Covid-19 ini," katanya.
Selain bertindak sebagai pengarah bersama untuk filem Hutang 2D, Eric juga berlakon bersama ahli Floor 88 seperti Ayie Elham, Akram K, Falique Ghazali, Zai Hamzah dan Amirul Afeeq.
Bukan itu sahaja filem yang bergenre aksi komedi itu turut dibintangi pelakon lain seperti Baby Shima, Black Hanafiah, Ogy Ahmad Daud, Ropie, Altimet, Wafiy Ilhan dan Coki.
Hutang 2D mengisahkan tentang Ayie (Ayie Elham), seorang pelukis webtoon yang kuat berangan dan bersifat pengecut. Hubungan Ayie dan ayahnya, Pak Jie (Ropie) tidak mesra, bahkan bakat melukisnya juga sering dipandang rendah oleh Pak Jie. Itu membuatkan Ayie rasa sedih dan kurang keyakinan, termasuklah memendam rasa terhadap jirannya, Shima (Baby Shima).
Sementara itu, Pak Jie banyak berhutang dan sering diganggu oleh dua orang gangster, Han (Black) dan Kit (Wafiy Ilhan). Apabila Pak Jie diserang di rumahnya, Ayie terus menyembunyikan diri. Segalanya berubah apabila Ayie bertemu dengan Gua Mambang (Altimet) dan telah menghadiahkan sebuah ‘tablet’ ajaib.
Ayie mendapati setiap lukisannya di tablet itu akan menjadi kenyataan. Kemudian, Ayie mencipta rakan-rakan baru dengan mempunyai kuasa ‘superhero’ yang luar biasa agar dapat membantunya menyelesaikan masalah hidupnya.
Saksikan filem terbitan Arie Zaharie Production bersama Knack Knack Studios ini terus ke Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula 5 Ogos 2021.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live