Biarpun berdepan detik sukar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), penyanyi Ameer Sofazr meluahkan rasa syukur dapat menimang cahaya mata pertama selepas lebih lima tahun berkahwin.

BACA: 5 Tahun Menanti, Ameer Sofazr Timang Cahaya Mata Sulung!

Kata Ameer, dia akur dengan standard operasi prosedur sepanjang PKPB yang membataskannya dengan isteri dan anaknya.

"Buat masa sekarang saya hanya dibenarkan iqamat tanpa pegang baby. Tapi dapatlah sentuh baby sikit saja. Memang terharu sangat-sangat apabila kita ada waris atau zuriat dari darah daging kita sendiri.

"Bagi yang belum dikurniakan zuriat lagi janganlah berputus asa atau patah semangat kerana perancangan Tuhan adalah sebaik-baik perancang. Biarkan apa orang nak cakap, yang penting kita sebagai suami isteri kena sabar dan saling memahami," katanya kepada Gempak.

Tambah Ameer, isterinya, Saidatul Nazriah Abdul Latif telah dimasukkan ke wad lima hari lebih awal untuk pemantauan doktor ekoran diabetes ketika hamil (GDM).

"Isteri saya dimasukkan ke hospital lima hari lebih awal. Tambah pula bukaan lambat sebab anak pertama.

"Doktor juga terpaksa membuat kaedah induce sebanyak tiga kali sebelum isteri saya dimasukkan ke dalam bilik bersalin. Selama sembilan jam dia menunggu dan akhirnya pada pukul 7.40 malam 27 Oktober lalu lahirlah puteri sulung kami.

"Cabaran sepanjang pendemik COVID-19 ini suami langsung tak dibenarkan untuk berjumpa dengan isteri jadi saya sangat risau dengan keadaan dia.

"Malah, saya juga tidak dapat bersemuka untuk memberikan kata-kata semangat kepadanya. Yang mampu hanyalah panggilan video dan doa banyak-banyak agar dipermudahkan segala urusan," tambahnya.

Ameer bakal mengumumkan nama anak perempuannya itu selepas tujuh hari dari tarikh bersalin.

Pasangan itu telah mendirikan rumah tangga pada Januari 2015.