Selepas hampir 15 tahun berkecimpung dalam industri muzik, penyanyi Stacy berkongsi rasa gembira apabila akhirnya dapat mengadakan konsert sulung buat dirinya.

Dibawakan khas oleh Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Stacy atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam, 32, bakal membawa peminat menyusuri perjalanan seninya sepanjang 15 tahun selain menjanjikan persembahan yang memukau.

Perjalanan 15 tahun Stacy

“Perasaan memang sangat teruja, selama 15 tahun saya dalam industri, sudah ada album, single yang agak banyak juga tetapi konsert solo masih belum ada.

“Jadi bila akhirnya dapat peluang sebegini, di tempat yang sangat berprestij (DFP) memang merupakan salah satu daripada impian saya daripada dulu.

“Saya harap akan ramai yang datang untuk bersama-sama lihat sendiri momen yang akan tercipta nanti. Malah saya janji tidak akan sia siakan peluang yang sekali seumur hidup ini.

“Ini merupakan tanggungjawab juga untuk saya yang diberikan oleh DFP, saya mahu pastikan hasilnya sangat bagus dan memuaskan. Saya janji orang tak akan rugi,” katanya kepada Gempak.

A post shared by Stacy Anam (@stacyanam)

Konsep Broadway

Ditanya mengenai konsep persembahan, Stacy berkata konsert tersebut bakal membawakan tema Broadway selain ingin menampilkan sisi lain dirinya.

“Saya sudah fikir konsep yang akan dipersembahkan pada malam itu, tidak boleh mentah-mentah masuk, kena ikut lagu. Saya ada team sendiri, termasuk pemuzik dan penari.

“Jika boleh beri hint sedikit, saya akan bawakan konsep broadway memandangkan saya terkenal dengan lagu-lagu yang rancak dan tarian.

“Dalam masa sama, saya dapat tunjukkan sisi lain saya yang mungkin selama ini tidak pernah orang lihat. Dapat pula buat persembahan dekat DFP, memang saya akan all out!,” ujarnya lagi.

‘Teriak’ akan diluncurkan

Selain kejutan sebuah lagu baharu akan diluncurkan pada malam konsert 25 Februari ini, Stacy turut menjelaskan sebanyak 18 buah lagu miliknya sendiri akan disajikan buat penonton yang hadir.

“Saya akan persembahkan hampir 18 buah lagu, yang penting semua lagu saya. Ada juga special punya undangan iaitu suami saya, Akim Ahmad. Saya akan duet beberapa lagu bersama dia nanti.

“Konsert ini juga sedikit sebanyak akan mempunyai sedikit elemen personal dimana ia akan menceritakan perjalanan kerjaya seni saya selama 15 tahun. Evolusi muzik yang saya nyanyikan daripada dulu hingga sekarang.

“Persediaan sangat berat, sebab saya melibatkan diri saya dalam susunan muzik, dalam kelas menari, semua saya buat sendiri. Masa memang agak terhad, saya gunakan setiap masa untuk pastikan semua akan berjalan dengan baik.

“Saya juga akan luncurkan lagu baru pada malam tersebut, berjudul “Teriak”. Lagu ini mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan,” tambahnya lagi.

Bagi yang berminat, tiket bermula daripada harga RM169, RM219, RM269, RM319 dan RM369 (Meet and Greet) sudah mula dijual dan boleh didapati menerusi kaunter Box Office DFP atau layari www.dfp.com.my