Penyanyi rap wanita yang sedang meningkat naik, Bunga, mengakui senang untuk hilang fokus apabila membuat persembahan secara langsung (live) di hadapan khalayak ramai.

Jelas Bunga, dia mengakui kesilapan itu dan akan cuba untuk mengawal situasi terutama lupa lirik apabila beraksi di pentas.

"Saya memang jenis cepat cuak dan kalau saya hilang fokus, mesti akan terlupa lirik. Tetapi saya akan cuba mencari jalan untuk menutup kesilapan itu.

"Oleh kerana saya pun sudah lama tidak bersuka, jadi senang juga semput apabila membuat persembahan.

"Saya akui kecewa dengan diri sendiri apabila tak boleh melakukan persembahan sebaik mungkin dan tetapi tak mudah untuk betulkan kelemahan itu," katanya kepada Gempak.

Bunga ditemui usai membuat persembahan penutup pada majlis Ainaa Beauty Grand Dinner di Battle Arena, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Pada majlis itu, Bunga yang menyanyikan lagu pilihannya sendiri That's What I Like (Bruno Mars) mengecewakan tetamu yang hadir apabila kerap terlupa lirik dan semput ketika di pentas.

Malah, Bunga gagal menyampaikan lagu jingle terbaharu jenama produk kosmetik tempatan itu berjudul #AINAAKCANTIK dengan cemerlang.

Berusaha untuk memperbaiki kesilapan itu, kata Bunga dia akan mendapatkan bantuan daripada teknik nyanyian dan stamina di pentas daripada pihak-pihak tertentu.

"Saya biasanya akan cuba menyanyi di hadapan keluarga dahulu sebelum membuat persembahan di hadapan orang ramai sebab saya jenis pemalu.

"Insya-Allah selepas ini saya akan mengikuti kelas 'grooming' untuk mempelajari teknik vokal dalam tempoh beberapa bulan selain bersenam dengan lebih aktif.

"Saya menganggap kritikan itu sebagai pembakar semangat dan satu nasihat untuk saya belajar supaya saya tahu saya pun ada kelemahan dan perlu berubah," tambah Bunga.

Pada majlis sama pasangan usahawan Syafiqah Aina dan Hafiz Mahamad turut melancarkan produk terbaharu mereka AINAA Scrub & Mask dan AINAA Palette.