Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan rasa syukurnya apabila rakyat negara ini masih dapat meraikan Aidilfitri dalam keadaan tenang tanpa sebarang pergolakan.

Beliau berkata, rakyat masih boleh bersama keluarga terdekat dan boleh berhubung dengan mereka yang jauh menerusi telefon.

"Sebagaimana orang lain, saya juga menggunakan teknologi seperti Zoom untuk berhubung, menatap wajah dan berkomunikasi dengan ahli keluarga yang lain.

“Lepas juga rindu biarpun tidak dapat bersama menyambut Aidilfitri yang mulia ini," katanya.

Menurutnya, sempena raya ini juga beliau terkenangkan nasib rakyat Palestin yang pastinya tidak dapat meraikan Aidilfitri apabila kediaman mereka dibedil oleh jet dan roket rejim Israel.

"Sungguh besar ujian yang terpaksa mereka tempuhi tatkala umat Islam yang lain sibuk merayakan Aidilfitri, maka sama-samalah kita mendoakan agar Allah pelihara dan lindungi saudara kita di Palestin.

"Marilah kita sama-sama mensyukuri nikmat sebagai warga bumi bertuah ini tatkala negara lain dan dunia diuji dengan ujian yang amat getir," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu posting di laman Facebook miliknya, semalam.