Hiburan

“Saya Kemalangan Tapi Mereka Ejek Kepala Tabung” – Kesan Dibuli Yonnyboii Trauma Pernah Terfikir Terjun Tingkap

gempak
Mya Amri
30/06/2020
07:16 MYT
Sponsor Banner
“Saya Kemalangan Tapi Mereka Ejek Kepala Tabung” – Kesan Dibuli Yonnyboii Trauma Pernah Terfikir Terjun Tingkap
Penyanyi YonnyBoii mendedahkan dia merupakan mangsa buli sejak dibangku sekolah.
Menurut Yonny, kejadian yang berlaku ketika dia berusia 12 tahun itu meninggalkan kesan mendalam sehingga membuatkannya mengalami trauma dan kemurungan.
“Saya menjadi mangsa buli sejak tadika lagi mungkin disebabkan saya agak berbeza dengan orang lain.
“Waktu masuk sekolah rendah pun saya hadapi benda yang sama. Bila saya terlalu fikirkan benda itu ia boleh menyebabkan kemurungan. Buli secara mental dan fizikal… Dua-dua saya kena.
“Ketika usia 12 tahun saya pernah kemalangan jadi ada parut atas kepala, bapa saya seorang yang sangat tegas, sakit pun kena pergi sekolah.
“Kemudian ada sekumpulan pelajar panggil saya kepala tabung sebab parut ditengah-tengah kepala itu. Saya sakit ni akibat kemalangan tapi mereka boleh ejek saya kepala tabung.
“Pada ketika itu saya tak kenal depresi itu apa, saya tak faham pun apa yang saya rasa. Saya dulu rasa macam kalau aku terjun tingkap ni, mati… Apa rasanya? Orang lain fikir apa ya?
“Kenapa perlu rasa macam ni? Kenapa ada rasa seperti ini? Sampailah saya sedar dan belajar mengenai perkara itu.
“Kemurungan bukanlah satu perkara yang main-main. Waktu dulu kita tidak didedahkan sangat jadi ada yang ambil mudah mengenai perkara ini,” katanya ketika ditemu bual Gempak. Yonny ditemui di sidang media majlis perlancaran single Kelabu bertempat di pejabat Universal Music di Menara Symphony, Seksyen 13, Petaling Jaya pada Isnin.
Berkongsi cara menghadapi kemurungan, Yonny memberitahu dia meluahkan perasaannya menerusi cara penulisan lagu.
“Saya tidak ada tempat untuk meluahkan perasaan jadi bermula umur 13 tahun saya mula menterjemahkan perasaan saya dalam penulisan.
“Pada asalnya penulisan saya itu adalah seperti diari namun lama-kelamaan bertukar menjadi lirik. Apabila saya meluahkan perasaan dengan cara begitu, saya rasa lebih lega.
“Saya kongsikan lirik itu untuk orang dengar, saya tak kisah walaupun pada ketika itu hanya 20 atau 30 orang sahaja yang dengar.
“Tapi saya rasa bangga sekurang-kurangnya ada yang mendengar luahan perasaan saya. Sebab tu saya setiap lirik yang saya tulis ada makna-makna tertentu,” jelasnya. Dalam perkembangan terbaharu, Yonny dan Azlan Typewriter bergabung menerusi lagu berjudul Kelabu ciptaannya.
Pada masa yang sama dengan mengalu alukan kehadiran single berkenaan, kempen anti buli turut diadakan.
BACA: Banyak Isi Tersirat, Kelabu Gabungan Mantap Yonnyboii Dan Azlan Typewriter
Bagi peminat lagu ini atau mereka yang mahu berkongsi pengalaman kena buli, boleh menulis tanda pagar #KELABU #HentikanBuli.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024