Penyanyi popular, Mawi mengakui banyak impiannya sudah tercapai tapi masih berharap agar sumbangan seninya dapat memberi manfaat pada semua sampai bila-bila.

Jelasnya, apa yang dilakukan dalam kerjaya seni mahupun kehidupan adalah lebih pada perkongsian dengan orang lain.

Mawi yang menyambut hari jadi ke-37 pada 25 Ogos lalu kelihatan sebak ketika menerima kejutan sambutan itu pada akhir programnya, Planet Mawi yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

“Pertama saya minta apa yang saya buat diterima orang lain sama ada sebagai penyanyi, penyampai radio mahupun menerusi program bual bicara saya sendiri, Planet Mawi.

“Sebenarnya, apa yang saya lakukan dalam hidup lebih pada perkongsian untuk semua agar diterima ramai dan berharap ia berpanjangan sehingga dikongsi dengan orang lain,” katanya kepada Astro Gempak.



Ujarnya, dia mahu apa yang disampaikanya sama ada menerusi lagu, filem dan kata-kata dapat memberi manfaat pada peminat mahupun sesiapa saja.

“Alhamdulillah jalan saya dipermudahkan bila dapat peluang jadi penyampai radio Zayan dan juga menghasilkan filem pertama.

“Sama ada apa yang saya lakukan akan terus sukses atau tidak, berpanjangan atau berhenti di sini saja, itu saya tidak tahu dan tidak mahu terlalu fikirkan kejayaan itu sangat tapi apa yang paling penting saya dapat berkongsi sesuatu,” katanya.

Bersikap sentiasa mencari ruang mendekatkan diri dengan Allah, Mawi percaya setiap apa yang dilakukan mempunyai kaitan dengan kehidupan selepas mati di hari akhirat kelak.

“Bila orang tengok atau baca balik berita pasal saya seperti lagu dan filem, saya kena lebih berhati-hati takut tambah dosa pada diri sendiri mahupun orang lain,” katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak