Hiburan
"Saya Kena Turunkan Berat Badan, Tak Makan Nasi Lepas Ni Sebab..." - Nad Zainal
Pelakon jelita, Nad Zainal mengatakan dia perlu menurunkan berat badannya untuk menjayakan watak sebagai isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali dalam filem Hasmah.
Menurut Nad, meskipun saiz badannya sudah kecil, namun dia masih perlu menurunkan sebanyak tiga kilogram untuk kelihatan lebih menarik dan menyerupai saiz Tun Siti di usia mudanya.
"Antara perkara yang saya harus lakukan sebagai persediaan menjayakan watak ini adalah menurunkan berat badan.
"Meskipun saiz badan saya tidak besar, namun saya masih harus menurunkan sebanyak tiga kilogram untuk kelihatan lebih menarik dan menyerupai saiz badan Tun Siti ketika usia mudanya, memang saya tak makan nasi lepas ni," selorohnya.
Nad berkata demikian ketika ditemui di sidang media dan pra-pelancaran filem Hasmah bertempat di MATIC, Kuala Lumpur semalam.
Tambah Nad, dia juga telah mengikuti kelas biola selama dua bulan untuk beberapa babak menggesek biola dalam filem tersebut.
"Saya juga telah mengikuti kelas biola selama dua bulan, Alhamdulillah, saya sudah pandai menggesek mengikut not muzik yang betul.
"Saya mengambil inisiatif sendiri untuk ke kelas berkenaan kerana akan ada beberapa babak menggesek biola, seperti diketahui ramai, Tun Siti sangat pandai menggesek biola, jadi saya harus menggesek dengan betul bukan sekadar berlakon sahaja," tambahnya.
Filem Hasmah merupakan filem Biopik Romantik yang berkisar tentang kisah cinta dan pengorban Tun Dr. Siti Hasmah dan suaminya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Filem Hasmah akan diterbitkan oleh Tune Production Sdn Bhd, namun setakat ini, tiada pengarah yang dipilih secara rasmi untuk mengarah filem tersebut.
Penggambaran akan bermula pada bulan Mac 2020, ia dijangka menjengah pawagam pada hujung tahun hadapan.