"Saya Kepingin Berdiri Walaupun Untuk Sejenak" - Ras Adiba Radzi

Amri Hassan
Januari 22, 2018 13:45 MYT
Penyampai berita popular Ras Adiba Radzi berkongsi perasaan terharu apabila diberikan bantuan kerusi roda yang membolehkannya berdiri.
Menerusi akaun Instagramnya, Ras meluahkan rasa syukur apabila diberikan bantuan berkenaan selepas lima tahun memendam hajat untuk membaca berita dalam keadaan normal.
"Lima tahun lalu saya berdoa agar dapat memilikinya. Setelah sekian lama tidak dapat berjalan, saya kepingin untuk berdiri walaupun ianya untuk sejenak.
"Suatu hari dua tahun lalu, 'ia' saya miliki tanpa disedari ialah apa yang saya pinta. Terima kasih Tuhan," tulisnya menerusi entri terbaharu Instagram.
Perkongsian itu mendapat perhatian peminatnya yang kebanyakan menjadikan penyampai berita ntv7 itu sebagai inspirasi untuk terus berjuang dalam hidup walaupun ditimpa musibah.
"Semua orang sepatutnya menjadikannya sebagai inspirasi. Dia tidak pernah berhenti malah lebih kuat menempuhi segala dugaan yang menimpanya," puji @danyqa89.
"Saya pun teringin memilikinya jika berkesempatan. Kak Ras adalah inspirasi buat saya," tulis @aniza_fz.flp.
Mengimbas kembali kejadian hitam yang menimpanya, Ras mengalami kemalangan jalan raya pada tahun 1995 hingga terlantar koma.
Pada tahun 2001 dia diserang sekumpulan lelaki di hadapan kediaman keluarganya hingga menyebabkan kecederaan serius.
Setahun kemudian, Ras terjatuh ketika mengambil barang di dalam almari rumahnya hingga menyebabkan dia lumpuh.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @rasadibaradzi
#Penyampai Berita #Ras Adiba Radzi