Penyanyi popular era 1980-an, Noorshila Amin menafikan tuduhan Lana Nodin yang telah mendakwa dirinya bertindak agresif dengan menengking dan menendang troli di gerai jualan pelakon itu ketika di Singapura hujung bulan lalu.

Noorshila juga mengangkat sumpah laknat menafikan dirinya menggelapkan wang lapan orang artis ketika di Brunei International Grand Festival 2017 pada April lalu.

"Saya bersumpah saya tidak pernah membuat penipuan wang lapan orang artis iaitu Sheila Mambo, Encik Mimpi, Jasmin Ashraff, Rozie Othman, Zul Yahya, Ainina Ahmad B, Liza Abdullah dan Aiman Tino pada bulan April lalu ketika di Brunei.

"Saya juga menafikan dakwaan Lana Nordin bahawa saya telah menendang troli gerai jualannya hingga menyebabkan barangan berterabur ketika di Halal International 2017 di Singapura pada 24 November lalu.

"Saya mengaku memang ada menegur penjaga gerai jualan Lana Nordin dan hanya menguis troli miliknya yang berada di kawasan gerai jualan saya.

"Memang pada malam kejadian saya dan Lana ada bertengkar di hadapan suami saya dan suaminya namun pertengkaran itu tidak menyelesaikan masalah yang berlaku.

"Perkara lebih rumit apabila Roslan Shah merakamkan video live di media sosialnya hingga ramai yang mengaitkan nama saya sekali gus menjejaskan imej dan perniagaan saya," jelas penyanyi lagu Rambu Ramba itu.

Noorshila ditemui pada majlis sidang media khas bersama dua anaknya, Nurrul Admiena Norrizan dan Nurrul Nadia Norrizan di Hartamas, Kuala Lumpur hari ini.

Sidang media itu diadakan bagi menjelaskan kejadian sebenar yang berlaku antara Noorshila dan Lana ketika di Singapura serta tuduhannya menipu wang lapan orang selebriti ketika di Brunei.

Noorshila mengangkat sumpah laknat sebanyak sembilan kali manakala anaknya, Nurrul Admiena mengangkat sumpah laknat lima kali.

Sumpah laknat Noorshila dibuat atas dua tuduhan iaitu menipu duit rakan selebriti dan fitnah yang disebarkan oleh Roslan Shah.

Teks oleh: Amri Hassan