Hiburan
“Saya Kurang Pengetahuan Sejarah Malaysia” - Farisha Iris Gigih Pusing Banyak Negeri Ketika PKP Demi …
Bintang Big Stage 2020, Farisha Iris teruja untuk pertama kali mengacarakan rancangan bersifat travelog dokumentari, Mencari Kanzun.
Mencari Kanzun kata Farisha membongkar kisah-kisah tentang ilmuan wanita di Malaysia dan rancangan itu secara tidak langsung memerlukannya untuk mengkaji sejarah tanah air sendiri.
“Saya pertama kali mengacarakan program bersifat dokumentari sebegini. Sebenarnya saya kurang pengetahuan sejarah, apabila dapat menjadi sebahagian daripada kru produksi ini boleh mengembara banyak negeri seluruh Malaysia.
“Saya jadi tertarik dengan sejarah yang ramai tak tahu juga sebenarnya.
“Secara tidak langsung juga membuatkan saya rasa nak belajar lagi selepas ini terutama tentang ilmu agama dan menyedarkan saya betapa pentingnya sejarah tentang negara kita,” katanya kepada Gempak.
Sementara itu, kata penerbitnya, Jaja Ishak, pergerakan produksinya sepanjang penggambaran Mencari Kanzun terbatas kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain perlu sentiasa berwaspada dengan wabak Covid-19.
“Memang ini cabaran untuk kami menyiapkan Mencari Kanzun memandangkan pelbagai proses perlu dilakukan bagi menyiapkan program travelog ini. Daripada proses mengenal pasti ilmuan wanita yang terpilih, kru produksi terutamanya penulis skrip perlu membuat kajian lapangan.
“Mereka bukan sahaja mengembara ke seluruh negara tetapi dalam masa yang sama terpaksa menjejaki waris memandangkan ada dalam kalangan ilmuan wanita yang diangkat sudah pergi buat selama-lamanya,” kata Jaja lagi.
Kata Jaja idea untuk menghasilkan Kanzun tercetus daripada perbincangan bersama rakannya sebelum ini. Ia bertujuan memaparkan kehebatan kaum wanita yang jarang diterbitkan sebelum ini.
Menggunakan tema “meneroka kesinambungan keilmuan wanita di negara sendiri”, sebenarnya akui Jaja, Malaysia menyimpan khazanah dan sejarah yang ternilai dan bakal didokumentasikan dalam Kanzun.
“Kita tidak membuat penggambaran secara sendirian sebaliknya mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, beberapa Jabatan Agama Islam, Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu serta Jabatan Mufti di negeri terpilih.
“Mereka bukan sahaja memberikan maklumat lengkap mengenai ilmuan-ilmuan yang terpilih tetapi dalam masa yang sama memberikan input dan cadangan lain untuk menambah naik program ini,” tambahnya lagi.
Kanzun bakal ditayangkan 13 episod di RTM dan turut mendapat Geran Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Negara Malaysia (Finas).
Diarahkan oleh Abidin Azizi, Mancari Kanzun bakal menemui penonton tahun hadapan.
Must-Watch Video