"Saya Lebih Memikirkan Masa Depan Anak-Anak Berbanding Diri Sendiri" - Hael Husaini

Asraf Aided
Ogos 25, 2021 06:50 MYT
Seperti kebanyakan ibu bapa, penyanyi popular Hael Husaini juga risau dengan situasi semasa COVID-19 di negara memandangkan dia membesarkan anak-anak angkat yang masih kecil di rumah.
Justeru, penyanyi lagu Jampi ini sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam kehidupan seharian.
"Memang paranoid, saya rasa bukan saya sahaja macam ini, terutama mereka yang ada anak kecil pun mesti rasa yang sama. Kita tahu kanak-kanak masih belum ada cara rawatan yang khusus dalam menangani penularan wabak ini.
"Sebagai seorang ayah, saya kena berhati-hati dan sentiasa ambil langkah berjaga-jaga," katanya.
Hael berkata demikian ketika sesi Chillax untuk program COVAiD #BaikSemula secara virtual pada Isnin.
Mengulas lanjut tentang tanggungjawab membesarkan anak-anak, Hael akui perkara itu mematangkan dirinya berbanding dahulu.
"Sejujurnya, tugas seorang bapa bukanlah mudah, tentunya mematangkan saya berbanding dahulu.
"Daripada seorang lelaki bujang dan tiba-tiba ada komitmen besar, ia banyak mengajar saya.
"Saya juga lebih banyak memikirkan masa depan anak-anak berbanding diri saya sendiri," katanya lagi.
Aidilfitri tahun ini, Hael berkongsi foto bersama sepasang bayi kembar, Haelmy dan Haelman yang dipercayai anak angkat terbarunya.
Terdahulu, Hael telah mengambil seorang anak angkat, Nur Helena Hael yang diamanahkan daripada sebuah keluarga pada tahun 2017.
#Anak Angkat #Hael Husaini #Bapa #Paranoid #Anak Angkat Hael #Kanak-Kanak Ketika Pandemik