Pelakon Datuk Aaron Aziz akui bersedia untuk berdamai dengan pengarah sensasi, Syamsul Yusof berhubung konflik yang terjadi antara mereka selepas namanya disingkirkan daripada filem Original Gangster.

Malah jelas Aaron, 47, sebaik sahaja namanya digugurkan, Syamsul tidak ada berhubung dengannya sehingga sekarang.

"Saya sedia berdamai dengan Syamsul Yusof dengan syarat dia datang berjumpa saya dan minta maaf atas apa yang berlaku.

"Saya tidak mahu menceritakan masalah apa yang berlaku antara kami kerana tidak mahu membuka aib.

"Malah, saya mahu berjumpa dengannya untuk menyelesaikan masalah yang berlaku tapi dia menolak," katanya menurut laporan Harian Metro.

Mengulas mengenai filem Original Gangster, aktor tersebut mengakui merasa kecewa apabila disingkirkan daripada membintangi filem berkenaan.

"Saya sudah bekerjasama dengan Syamsul dalam projek filemnya selama 12 tahun iaitu sejak 2010 lagi.

"Saya juga terbabit dalam empat projek filem besarnya termasuk KL Gangster dan KL Gangster 2 sebelum ini," katanya.

Terdahulu, Aaron mendedahkan namanya digugurkan daripada berlakon dalam filem Original Gangster arahan Syamsul.

Bagaimana pun, Aaron tidak mahu mengulas terperinci mengenai isu terbabit kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.

Sumber - Harian Metro