Saya Mahu Cari Isteri Yang Boleh Jaga Ibu Bersama - Imran Ajmain

Fiza Kamarudin
Julai 3, 2017 08:31 MYT

Penyanyi Imran Ajmain berkata, kalau pun dirinya sudah mempunyai teman, untuk mendirikan rumah tangga bukannya sesuatu perkara yang mudah.

Imran, 36, ketika ditemui Astro Gempak baru-baru ini mengakui dia sudah mempunyai seorang kawan dan sedang dalam peringkat mengenali hati budi masing-masing.
“Saya sudah ada kawan tapi hubungan kami masih belum sampai ke tahap yang sangat serius. Ramai orang tanya saya, bila nak kahwin lebih-lebih lagi bila umur dah semakin ‘banyak’ bilangannya.
“Terus-terang saya katakan, mendirikan rumah tangga itu bukanlah semudah A-B-C. Banyak faktor yang perlu saya pertimbangkan sebelum menggalas tanggungjawab sebagai suami.
“Rasanya ramai sudah maklum, sejak ketiadaan bapa saya bertanggung jawab 100 peratus terhadap ibu. Saya mencari seorang isteri yang boleh menerima ibu saya juga,” jawabnya jujur.
Imran ditemui ketika Majlis Pelancaran Album Mini Aidilfitrinya di Suntec Singapura baru-baru ini.

Bercakap mengenai album, Imran memberitahu pada mulanya dia agak gementar untuk merakam semula lagu-lagu Aidilfitri malar segar kerana melihat ramai penyanyi dikecam kerana didakwa merosakkan irama asalnya.
“Mula-mula saya bimbang untuk merakam semula tiga lagu raya nyanyian Sanisah Huri iaitu Aidilfitri, Bersabarlah Sayang dan Joget Aidilfitri serta sebuah lagu Junainah M. Amin berjudul Suasana Riang Di Hari Raya kerana bimbang dikecam merosakkan lagu.
“Namun selepas seniman Yusnof Ef yang merupakan penulis lirik bagi kesemua empat lagu raya tersebut memberikan panduan, barulah saya yakin dan berani.
“Cikgu Yusnor Ef pesan supaya jangan dijauhkan sangat susunan rakaman semula lagu daripada lagu yang lama sehingga iramanya diubah menjadi hip hop atau R&B kerana bukan semua orang boleh menerimanya,” katanya.
Dalam pada itu, Imran bersyukur kerana lagu raya yang dinyanyikan semula olehnya diterima baik oleh pendengar.

“Alhammdulillah, bukan mudah untuk menambat hati dan ‘telinga’ pendengar. Saya berterima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada saya sejak dari dahulu hingga sekarang,” ujarnya.
Imran dan Yusnor mempunyai hubungan kekeluargaan yang sangat akrab sejak berpuluh tahun lalu kerana datuknya merupakan sahabat baik kepada Yusnor sejak tahun 50-an lagi.
Lagu Joget Aidilfitri, Bersabarlah Sayang, Aidilfitri dan Suasana Riang Di Hari Raya ini boleh didapati dan dimuat turun menerusi Spotify di http://bit.ly/imranajmainaidilfitrispotify, Apple Music http://bit.ly/imranajmainaidilfitriapplemusic, iTunes http://bit.ly/imranajmainaidilfitriitunes dan JOOX http://bit.ly/imranajmainaidilfitriJOOX.

Sementara itu, video muzik Suasana Riang Di Hari Raya boleh ditonton di laman YouTube akaun Imran Ajmain.

Foto: SukaSucre Creatives

#Penyanyi #Penyanyi #Imran Ajmain #Nusantara