Pelakon Lufya Omar berhasrat untuk membesarkan anaknya, Laana Haura, 2, dengan ilmu agama agar dapat menjadi seorang insan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

Menurut Lufya, dia tidak mementingkan populariti buat Haura kerana pendidikan dan ilmu agama adalah aspek yang lebih penting.

"Saya tidak mementingkan populariti buat anak saya, apa yang lebih penting adalah pendidikan dan ilmu agama.

"Saya mahu dia jadi seorang anak yang berpendidikan dan mengetahui tentang ilmu Islam, kalau boleh, saya mahu dia jadi seperti tokoh ilmuan Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad.

"Soal populariti itu akan datang sendiri, jika dia popular maka namanya tetap menjadi tumpuan ramai," katanya kepada Gempak.

Tambah Lufya, dia kini sedang dalam proses mendalami kitab suci Al-Quran untuk memperbaiki diri dan memberi bimbingan kepada anaknya.

"Saya sendiri sedang mempelajari Al-Quran dengan lebih mendalam untuk kebaikan diri dan semestinya untuk membimbing Haura.

"Jika saya mahu dia membesar menjadi seorang insan yang mengetahui ilmu agama, saya sendiri harus mulakannya dahulu," tuturnya menutup bicara.