Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

"Saya Mahu Fokus Satu Perkara Sahaja" - Antara Kerjaya Seni & Bisnes, Syifa Melvin Pilih...

Kamaruddin Razal 17/09/2020 | 12:51 MYT
Pelakon dan usahawan, Syifa Melvin mengakui dirinya kini lebih memberikan fokus terhadap bidang perniagaan.
Menjayakan bisnes bersama adik-beradiknya, Syatilla, Syida dan Syafiqa menerusi jenama Kekasih by The Melvins, Syifa mendedahkan penglibatannya dalam dunia lakonan dan pengacaraan berlaku secara tiba-tiba.
"Saya terlibat dalam bidang seni tanpa disengajakan. Pada awalnya, saya bergelar selebriti media sosial dan pernah menjadi jurusolek selama dua tahun.
"Ketika itu, saya ada temani kakak saya, Syatilla ke set penggambaran kalau ada masa terluang. Pada masa yang sama, saya juga sedang belajar.
"Alhamdulillah, saya mula mendapat rezeki dalam bidang seni menerusi beberapa tawaran lakonan pada waktu itu, cuma saya tidak boleh fokus dengan baik.
"Ramai yang tak tahu, ketika saya aktif mencantikkan wajah orang lain, saya pernah bangun jam 5, 6 pagi untuk menyolek pengantin dan banyak lagi pahit manis yang saya lalui.
"Tiba-tiba, ada pula segelintir orang meletakkan label 'gold digger' kepada saya. Sejujurnya, telahan itu tidak wajar diberikan," katanya.
Syifa ditemui pada majlis pelancaran produk kosmetik maskara Hijab Mata Kekasih menerusi jenama Kekasih by The Melvins di Shah Alam Convention Centre, pada Rabu.
Pada majlis berkenaan, The Melvins telah melancarkan 60 papan tanda iklan di seluruh negara bagi produk kecantikan tersebut.
Kekasih by The Melvins menawarkan beberapa pilihan produk kecantikan seperti krim bedak asas, matte bibir, eyeshadow dan blusher.
Enggan terus hilang dalam dunia seni, Syifa bagaimanapun mengakui akan mempertimbangkan tawaran lakonan jika ditawarkan naskhah yang sesuai.
"Dek kerana kekangan masa dan bisnes, saya terpaksa mendahulukan satu komitmen sahaja. Saya mahu fokus kepada satu perkara sahaja.
"Saya risau kalau buat semua perkara nanti, ia tak kan kemana. Buat masa sekarang, saya lebih selesa dikenali sebagai ahli perniagaan dan teruja dengan apa yang diusahakan buat masa ini.
"Bagaimanapun, jika ada nakshah bersesuaian dan kena pada masanya, Insya-Allah saya akan pertimbangkan dan kembali ke set penggambaran. Cuma keutamaan kini lebih kepada bisnes," jelasnya.
#Syifa Melvin
;