"Saya Masih Bernyawa, Apa Motif Sebar Berita Palsu?" - DJ Lin

Amri Hassan
April 30, 2022 01:55 MYT

Penyampai radio popular DJ Lin terkejut apabila namanya didakwa telah meninggal dunia oleh seorang pengguna Facebook beberapa hari lalu.

Mengulang siar paparan skrin daripada hantaran Facebook pengguna berkenaan, DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, 46, menafikan tuduhan terbabit.
"Apa motif awak ek sebarkan berita palsu ini? DJ Lin masih bernyawa lagi dan ini pun baru habis on air Suria Cinta.
"Awak teringin nak popular ke atau macam mana? Sedih bila ada orang doakan benda yang tak baik dekat kita.
"Teringin saya nak bertentang mata dengan orang yang menyebarkan fitnah tentang kematian DJ Lin ni. Sangat kurang ajar dan tak bertanggungjawab!" tulisnya.
Akui terkejut dengan dakwaan kematian itu, kata DJ Lin dia yang dimaklumkan oleh peminatnya menerusi kiriman mesej langsung di Instagram (IG) tidak menyangka berita palsu tentang kematian sewenang-wenangnya dihebahkan tanpa usul periksa.
Malah, DJ Lin menyifatkan tindakan itu sedikit sebanyak mengganggu emosi serta mampu mencetuskan pelbagai risiko panik terutamanya dalam kalangan keluarganya.
"Ada peminat DM di IG screenshot itu. Saya pun terperanjat, dah kenapa pula mamat ni? Sepatutnya sebelum dia post tu patutnya cari dulu, berita ini melibatkan kematian dan maruah orang. Dia kena ingat saya ada keluarga dan anak-anak yang bergantung pada saya.
"Dia perlu hormati perasaan kami, bagaimana kalau keluarga saya baca posting itu. Terganggu emosi mereka dan boleh creat emosi tak terjangka. Apa lagi kalau ibu saya yang ada sakit jantung, darah tinggi dan buah pinggang itu membacanya? Tak ker haru? Siapa yang nak bertanggungjawab.
"Sebabkan fitnah ini, saya sifatkan ia tindakan tidak bertanggungjawab. Dah tiba masa kita belajar jadi matang ni. Jangan sebarkan berita viral dan cetuskan perhatian orang. Banyak cara lain nak jadi popular tapi bukan dengan cara mengaibkan orang atau memaklumkan berita kematian orang masih hidup. Saya pantang sikit!" katanya kepada Gempak.
Menerusi hantaran terbabit, DJ Lin yang popular dengan segmen Suria Cinta didakwa telah meninggal dunia sekitar 27 April lalu dan meminta untuk disedekahkan Al-Fatihah.
Melanjutkan bicara, tambah DJ Lin, pengguna Facebook berkenaan masih belum menghubunginya biarpun dikatakan telah membuat permohonan maaf di akaun media sosialnya.
Harapan DJ Lin agar pengguna terbabit lebih bertanggungjawab dan segera menghubunginya untuk menjelaskan perkara sebenar.
"Peminat saya dah mula hubungi dia, ada kata dia minta maaf sebab dia terbaca di satu posting cuma tak sempat nak screenshot.
"Budak ini tak ada berusaha untuk hubungi saya, saya masih anggap dia masih tak merasakan tindakan dia itu salah. Saya harap Allah bagi petunjuk pada dia di bulan Ramadan ini.
"Saya harap dia buat permohonan maaf secara terbuka, sebab peminat saya ramai dan semua bengang. Jadi, sebelum tak elok berlaku, harap dia cepat-cepat buat sesuatu sama ada delete posting atau hubungi saya.
Saya banyak bertoleransi sebelum ini dengan pelbagai isu, tapi tidak dengan hal fitnah 'mematikan' saya," ujarnya.

#Viral #Penyampai radio #DJ Lin #Kematian #Fitnah #Suria Cinta