Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Saya Masih Menyanyi & Dalam Industri Seni, Cuma Ilham Untuk Berniaga Kurta Muncul Ketika Di Mesir...” – Daqmie

Fiza Kamarudin
05/03/2022 05:40 MYT
Penyanyi, penulis lirik dan komposer Daqmie atau Azmee Manap, 51, baru-baru ini memperkenalkan cabang terbaru kariernya.

Daqmie yang mula aktif dalam bidang seni sejak 1989, cuba mengatur langkah untuk menceburi bidang perniagaan tekstil pula.

Menurut Daqmie, hasrat untuk menjadi usahawan sudah lama terpendam, cuma tidak bertemu orang yang sesuai untuk membimbingnya dalam bidang tersebut.

“Tidak sangka, akhirnya sahabat baik saya sendiri Datuk Asfarena Samion yang membuka jalan ini kepada saya.

“Saya berani buat dan yakin kerana Datuk Asfarena ini memang pakar dalam apa yang dilakukannya.

“Sebagai pemilik Secret Modest yang cemerlang dalam menghasilkan pelbagai jenis pakaian, saya yakin dapat belajar dan mengembangkan perniagaan saya yang bergerak di bawah syarikat A&T Brilliant Sdn. Bhd.,” katanya.

Daqmie berkata, untuk permulaan, mereka mengetengahkan kurta potongan longgar dan seluar berlipat pelekat bahagian hadapan, di bawah jenama Pendeta By Daqmie.

“Sekarang ini untuk produk awal, saya tekankan kepada Eco Batiq punya produk. Elemen warna dan sumber daripada kayu-kayu dan daun adalah motifnya.

“Pola seluar Pendeta ini saya sudah simpan lama untuk dibuat. Rekaannya, dari depan nampak macam kain tapi sebenarnya seluar.

“Buat masa sekarang kita buat untuk koleksi pakaian lelaki saja dulu, lepas ini akan menyusul jubah, baju perempuan dan kemungkinan besar baju kanak-kanak juga,” jelasnya yang mendapat ilham menghasilkan seluar Pendeta sewaktu berada di Mesir.

Tambah Daqmie, nama Pendeta menjadi pilihan kerana ia diberi oleh arwah bapa .

“Nama Pendeta bapa saya yang bagi nama dan itu adalah nickname saya dalam keluarga. Arwah bapa pernah cakap, esok satu hari kamu akan dapat keluarkan satu benda ini tapi dalam bentuk arts.

“Bagi saya, nama Pendeta itu sangat unik kerana ia membawa maksud pemikir dan ia bercerita tentang bagaimana sesuatu perkara itu berlaku,” katanya.

Untuk keluaran pertama, pakaian yang dikeluarkan A&T Brilliant merupakan koleksi Kurta Eco Batiq. Menariknya, pembeli boleh membeli sepasang pakaian tersebut atau memilih untuk memiliki salah satu daripadanya dengan melayari Secretmodest.my.
#Kurta #Daqmie #Pendeta
;