Pelakon Aprena Manrose, 28, enggan mengulas lanjut apabila ditanya tentang penampilan terkininya yang menggayakan hijab dalam kehidupan harian.

Menurut Aprena atau nama sebenarnya Wan Syahera Putri Aprena berkata dia masih dalam proses pembelajaran justeru mengharapkan doa daripada orang ramai.

"Ya, saya masih sedang belajar lagi untuk bertudung. Masa bulan puasa hari itu memang saya niat nak belajar pakai tudung.

"Soal berhijab kalau boleh saya tidak mahu bercakap apa-apa. Biarlah jika perkara itu berlaku (berhijab sepenuhnya) saya yang akan beritahu sendiri.

"Mohon semua orang doakan yang baik-baik buat saya," katanya kepada Gempak.

Aprena ditemui ketika sidang media drama Hatimu Sedingin Salju yang diadakan secara maya pada Khamis.

Dalam pada itu, pelakon utama drama Tiada Arah Jodoh Kita menyatakan dia masih menerima tawaran lakonan yang menuntut dirinya memegang watak 'freehair'.

"Saya masih terima tawaran lakonan yang tidak bertudung sebab memang sudah dijanjikan sebelum ini.

"Sebab itu, saya tidak mahu bercakap apa-apa (tentang berhijab) kerana tidak tahu bagaimana masa depan," katanya lagi.

Sebelum ini, Aprena kelihatan sering memuat naik foto penampilan dirinya bertudung di Instagram (IG).

Perkongsiannya itu mendapat respon positif terutama dalam kalangan peminat yang mendoakan agar adik aktres Oktovia Manrose ini kekal beristiqamah.