Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Saya Masih Wanita Sejati - Ara AF 2016

Ahmad Shah 19/10/2016 | 08:05 MYT

Finalis Akademi Fantasia 2016 (AF 2016), Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 19, mengakui dirinya mempunyai karakter seorang wanita yang kasar.

“Saya mengakui yang saya mempunyai karakter seorang gadis yang sedikit kasar. Namun begitu, saya masih lagi seorang wanita sejati.

“Kasar hanyalah perwatakan saya dan semua yang mengenali saya semenjak dulu lagi tahu saya sifat saya yang sedikit ganas,” kata Ara kepada Astro Gempak.

Tampil dengan imej rambut pendek ala ‘boy cut’, Ara berhasrat mahu menyimpan rambut panjang pula selepas ini.

“Saya memotong rambut pendek kerana mengikut gaya rambut terkini. Sebelum ini, memang saya menyimpan rambut panjang.

“Keputusan memotong rambut pendek sebelum ini pun kerana saya mahu kelainan menerusi penampilan saya. Selepas ini, saya mahu kembali menyimpan semula rambut saya,” katanya lagi.

Bersyukur kerana mendapat tempat keempat dalam AF 2016, Ara mahu berusaha dengan lebih gigih setelah sesi pembelajaran di akademi menutup tirainya dua minggu lalu.

“Sebelum ini saya tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan nyanyian. Percubaan pertama saya menyertai AF 2016 nampaknya membuahkan hasil.

“Saya serius dalam mencapai cita-cita untuk menjadi penyanyi dan mahu berusaha bersungguh-sungguh untuk menempatkan diri dalam industri nyanyian.

“Saya berharap agar single saya, Warkah Untukku yang dicipta oleh Hang Nadim dan Laq mendapat tempat di hati peminat,” katanya mengakhiri perbualan.

Teks oleh: Kamaruddin Razal

#AF2016 #Ara AF2016
;