"Saya Memaafkannya Kerana..."- Ibu Tangmo Nafi Maafkan 2 Suspek Kerana Terima RM3.8 Juta
Syafiqah Jalal
06/03/2022 03:28 MYT
06/03/2022 03:28 MYT
Ibu kepada pelakon Thailand Nida Patcharaveerapong atau lebih popular sebagai Tangmo Nida memaafkan dua rakan lelaki yang ada bersama anak perempuannya di atas bot laju pada malam kejadian.
Bangkok Post melaporkan, Panida Siriyuthayothin ketika temubual dalam satu rancangan TV berkata, dia memaafkan pemilik bot laju Tanupat Por Lerttaweewit dan pemandu bot Phaiboon Robert Trikanjananun.
Panida bagaimanapun berkata, dia tidak memaafkan rakan Tangmo yang lain.
Untuk rekod, Tangmo ditemukan mati lemas baru-baru ini namun pelbagai persoalan timbul berhubung kematiannya termasuk kemungkinan ia disengajakan.
Panida berkata Por menelefonnya keesokan hari (selepas kejadian) dan meminta maaf selain mahu bertemunya secara peribadi.
"Dia berjanji untuk menjaga saya seperti dilakukan Tangmo. Saya memaafkannya kerana dia berterusan cuba menghubungi saya dan dia tahu saya sedang marah," katanya.
Dia dalam pada itu berkata akan menerima pampasan daripada Por yang berjanji memberikannya sejumlah besar wang.
"Andai kata Tangmo memperoleh 1 juta baht daripada siri TV. Jika dia hidup selama 30 tahun lagi, saya boleh darabkan jumlah itu dengan 30. Ini masih tidak termasuk kehilangan pendapatan daripada sesi bergambar sebagai model," katanya.
Difahamkan Panida ditawarkan sejumlah 30 juta baht (sekitar RM3.8 juta) sebagai pampasan.
Panida bagaimanapun menafikan tindakan memaafkan dua rakan yang juga suspek kes kematian anaknya itu disebabkan wang pampasan yang bakal diterimanya.
Tindakan ibu Tangmo itu nyata mengejutkan ramai pihak sehingga ada yang berpandangan wanita itu tersepit dengan masalah kewangan hingga menyebabkan dia menerima dorongan itu.
Sementara itu, Panida berkata dia tidak memaafkan pengurus Tangmo, Idsarin Gatick Juthasuksawat kerana hanya menghubunginya selepas tiga hari kematian anaknya malah menuduh Gatick menyebabkan kematian anak perempuannya itu.
Tangmo, 37, terjatuh ke dalam Sungai Chao Phraya berhampiran jeti Pibul 1 di daerah Muang, Nonthaburi sekitar jam 10.40 malam pada 24 Februari lalu. Mayatnya ditemui kira-kira jam 1 tengah hari Sabtu.
Sumber: Harian Metro