Pelakon Rozita Che Wan mengakui pernah beratur panjang di karnival hiburan semta-mata untuk bergambar dengan penyanyi pujaannya, Fauziah Latiff (Jee).

Tambah Rozita atau mesra dipanggil Che Ta ini, dia juga tidak ketinggalan membeli kaset Jee ketika zaman kemuncak kerjaya penyanyi tersebut.

"Boleh kata semua koleksi lagunya yang meruntun jiwa saya ada. Malah saya pernah beratur semata mata nak bergambar dengannya di sebuah karnival persembahan di Alor Setar, Kedah.

"Malah saya pernah disatukan dengan Jee dan seorang lagi bintang pujaan saya, Ziana Zain dalam sebuah fotografi kulit muka depan majalah fesyen dan kecantikan,” katanya.

Yang terbaharu,Che Ta berkata, dia tidak menyangka dapat membintangi drama Tahyul terbitan Zeel Production bersama Jee.

“Tak sangka dapat pula berlakon dengan Jee buat kali pertama,” katanya sambil memberitahu Tahyul turut dibintangi Aniq Suhair, Cik B, Wani Kayrie, Ahmad Adly Sofwan, Shah Khan, Tania Hudson, Aidit Noh dan ramai lagi.

Kata Che Ta, selain menerima tawaran itu disebabkan Jee, dia turut mempertimbangkannya kerana diberi peranan sebagai Detektif Masni.

"Ikutkan saya jarang memegang watak seperti polis atau perisik. Begitu juga detektif. Sebelum ini dalam drama Gerak Khas pun saya pernah muncul jadi Deputi Superintenden Polis untuk beberapa episod.

"Sebelum itu, karakter Kiah Pekasam juga diperluaskan menjadi Kiah Spy. Saya juga pernah jadi 'spy' dalam drama Family Spy yang turut dibintangi Alif Satar.

"Apabila ditawarkan watak detektif, saya nampak kelainan untuk mempertimbangkan drama Tahyul. Masa baca skrip, saya tanya siapa pegang watak Puan Qaseh. Apabila diberitahu ia dilakonkan Jee, tak ada sebab saya nak menolaknya," katanya.