Penyanyi XPDC, Ali menafikan dirinya dijangkiti Covid-19 serta menghadiri Ijtima Tabligh di Masjid Sri Petaling pada 28 Februari hingga 2 Mac lalu.

Ali mengakui ada ditahan di wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang selama sehari, baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya dia dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan di tangan dan muka selepas disambar api ketika membakar sampah.

“Saya memang salah seorang jemaah Tabligh tetapi saya tidak ke perhimpunan itu pada tarikh berkenaan dan saya juga tidak ada kontak rapat dengan jemaah yang positif Covid-19.

“Orang sangka saya antara yang dijangkiti menerusi cara kontak rapat dengan pesakit. Sedangkan saya sebenarnya mengalami sedikit kemalangan disambar api di tangan dan muka serta memerlukan rawatan di hospital.

“Saya mendapatkan rawatan di hospital itu dan ditahan di wad selama sehari. Disebabkan inilah cerita terbabit timbul," katanya.

Menurutnya, dengan statusnya yang aktif menyertai tabligh, masyarakat menyangka dia antara individu positif Covid-19 apabila dimasukkan ke hospital.

“Tak dinafikan, sekarang apabila ada orang tabligh masuk hospital, orang tentu sangka itulah penyakitnya.

“Nak dijadikan cerita, kemalangan menimpa saya ini sama tarikh dengan kekecohan akibat wabak Covid-19 di mana jemaah tabligh diminta menjalani ujian saringan.

“Alhamdulillah, saya tidak dijangkiti Covid-19. Kemalangan yang menimpa saya bukanlah serius sangat dan insya-Allah boleh pulih," katanya.

Ali mengharapkan semua peminat mendoakan yang terbaik buatnya.

“Saya bersangka baik dengan ujian Allah kerana percaya semuanya dah diaturkan. Saya reda dengan apa yang berlaku dan ketentuan Allah. Yang penting saya hanya kena bersabar dan solat kerana itu sebahagian daripada iman," katanya.

Terdahulu, isteri Ali memuat naik kenyataan di Facebook menafikan suaminya dimasukkan ke hospital akibat positif Covid-19.

Sumber: Harian Metro