"Saya Memang Terkejut Sebab..."- Reaksi Natural Jadi Perhatian, Alif Satar Tak Sangka Menang
Syafiqah Jalal
14/02/2023 09:36 MYT
14/02/2023 09:36 MYT
Penyanyi Alif Satar akui terkejut apabila diumumkan lagu Anugerah Terindah nyanyiannya dengan Alif Satar & The Locos sebagai pemenang tempat ketiga di Anugerah Juara Lagu le-37 (AJL37) pada Ahad.
Malah momen dan reaksi wajah Alif ketika pengumuman pemenang dibuat turut menjadi sebutan di media sosial.
"Sebenarnya tersenarai sebagai finalis pun dah cukup membanggakan buat kami tak fikir pun soal nak bertanding, apatah lagi menang.
"Apa yang kami tahu hanya mahu beri yang terbaik dan hiburkan peminat sebab ini adalah tahun pertama masuk AJL.
"Terus-terang memang tak sangka akan menang. Kalau tengok rakaman wajah saya ketika diumumkan tempat ketiga pun dah tahu saya betul-betul terkejut. Tak sia-sia cipta lagu ini tiga tahun lalu," katanya kepada Astro Gempak.
Menurut Alif lagi ketika persembahan dia ada sedikit gementar berbanding ahli band The Locos yang lain.
"Masa jadi pengacara saya terfikir mahu bertanding sebagai finalis. Tetapi malam ini (Ahad) saya rasa lebih baik jadi pengacara kerana rasa gementar yang luar biasa.
"Tapi berbeza pula dengan ahli kumpulan yang lain, mereka lebih rileks dan bersahaja," kongsinya.
Justeru, Alif menyifatkan kemenangan itu sebagai permulaan mereka lebih dikenali sekaligus membuka mata semua peminat industri muzik dengan kewujudan Alif Satar & The Locos.
"InsyaAllah dengan kemenangan ini akan membuatkan orang lebih kenal Alif Satar & The Locos.
"Sebelum ini ramai yang tanya apa keistimewaan band ini, bagi saya kami cuba tampilkan kepelbagaian dalam muzik. Kami boleh nyanyi lagu pop, rock dan nasyid.
"Selain itu, hari ini (Ahad) semua peserta bersiap di bilik mereka sendiri, tetapi kami sanggup make up dalam bas. Tak kisahlah ruang sempit sekali pun.
"Kami sangat teruja tersenarai di AJL37 dan ini juga tanda akan bermula persembahan jelajah kami," ujarnya.
AJL37 menyaksikan Aina Abdul sebagai juara dengan membawa pulang wang tunai RM100,000, serta meraih RM12,000 apabila berjaya menggondol trofi Vokal Terbaik.
Selain Datuk Mokhzani Ismail selaku ketua juri AJL37 turut menampilkan juri-juri Acis, Altimet, Noryn Aziz, Jari, Ad Samad, Azlan Abu Hassan, Khir Rahman, LY dan Damian.
Berlangsung dengan kehadiran lebih 8,000 orang penonton AJL37 dihoskan Jihan Muse dan Sherry Alhadad.