Penyanyi dan pelakon, Cik Manggis kini aktif melibatkan diri dalam aktiviti sukan lasak, SurfSkate selepas dijangkiti COVID-19 sebelum ini.

Menurut Manggis yang juga merupakan anggota kumpulan De Fam, aktiviti itu boleh mengembalikan stamina dan membuatnya lebih cergas.

“Saya baru sahaja melibatkan diri dengan SurfSkate sejak April dan sebenarnya saya dengan suami pernah dijangkiti COVID-19.

“Saya rasa semua orang ada sindrom post COVID begitu juga dengan kami. Jadi kami memilih satu sukan yang bila buat sekejap pun sudah boleh keluarkan peluh.

“Alhamdulillah saya boleh rasakan perbezaannya, lebih sihat dan bertenaga berbanding sewaktu kena COVID,” katanya ketika ditemui pada program Malaysia Boleh Bersama Milo sempena samburan Hari Malaysia yang diadakan di Dataran Merdeka, pada Jumaat.

Malah kata Cik Manggis juga tidak mempunyai masalah untuk melibatkan diri dengan sukan yang sememangnya popular bagi golongan lelaki kerana dia amat meminati sukan lasak.

“Sebab saya memang tomboy dan kawan saya juga kebanyakannya adalah lelaki. Bagi saya ini sukan yang sangat bagus.

“Sukan lasak begini saya suka. Ya, memang saya pernah tercedera waktu mula-mula tapi itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus bermain.

“Sekarang saya dah pandai kawal cara bermain. Sebenarnya saya melakukan sesi latihan pun bersama dengan suami dan juga cikgu yang mengajar,” jelasnya.

Dalam perkembangan terbaharu, Cik Manggis mendedahkan De Fam bakal muncul dengan single baharu tidak lama lagi.

“Saya ada berita gembira ingin dikongsikan, De Fam akan keluarkan single baharu hujung September ini dan saya juga teruja menantikannya.

“Muzik video juga sudah siap. De Fam punya genre muzik kali ini sangat berbeza berbanding sebelumnya. Saya harap peminat sukakannya,” ujarnya.