Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Saya Memohon Maaf Kepada Adik Veveonah Mosibin” - Datuk Zahidi Zainul

Hanafis Haris 03/09/2020 | 14:54 MYT

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul tampil memohon maaf kepada YouTuber serta pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin.

Permohonan maaf itu susulan dakwaannya semalam yang mengatakan gadis tersebut tidak menduduki peperiksaan ketika video tersebut dirakam.

BACA: Hanya Untuk Nama & Konten YouTube, Kisah Gadis Jawab Peperiksaan Atas Pokok Disahkan Palsu

Malah, Zahidi mendakwa Veveonah hanyalah Youtuber pentingkan nama dan video dihasilkan hanya untuk hiburan.

“Merujuk kepada perbahasan di Dewan Negara hari ini, saya ingin membetulkan kenyataan mengenai adik Veveonah Mosibin tidak menjalani sebarang peperiksaan ketika video beliau belajar di atas pokok tular di media sosial.

“Saya telah mendapat maklumat yang tidak tepat dalam menjawab soalan tambahan.

“Saya ingin memohon maaf kepada adik Veveonah Mosibin dan juga akan membuat pembetulan di Dewan Negara Isnin nanti.

“Semoga adik Veveonah Mosibin terus maju jaya dalam setiap bidang yang diceburi,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu posting terbaru di Facebook rasminya.

Menerusi ruang komen rata-rata netizen mengecam dakwaan tidak tepat berkenaan.

Malah, kebanyakannya meminta supaya fakta disemak terlebih dahulu sebelum dibentangkan kepada umum.

Untuk rekod, Veveonah yang berasal dari Kampung Sapatalang, Pitas, Sabah mencuri tumpuan ramai apabila memuat naik video bertajuk 24 Hours On Tree Challenge di YouTube.

Video berdurasi kira-kira 11 minit itu menunjukkan Veveonah terpaksa memanjat pokok untuk menjawab kertas peperiksaan Kimia dan Pengajian Malaysia.

#Viral #Viral #Veveonah Mosibin #ZahidiZainul
;