Laman Utama
“Saya Menangis, Dah Lama Saya Bertahan” - Cheah Liek Hou Hadiahkan Pingat Emas Kedua Untuk Negara!
Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou menepati sasaran menjadi pemenang pertama pingat emas negara menerusi acara badminton kategori SU5 Sukan Paralimpik Tokyo 2020, sebentar tadi.
Liek Hou, 33, menewaskan pemain di ranking pertama, Dheva Anrimusthi dengan 21-17, 21-15 dengan persembahan bertenaga di Stadium Kebangsaan Yoyogi, Tokyo.
Memetik temubual bersama Astro Arena, Leik How menangis apabila mencipta kejayaan yang berharga buat negara.
“Saya taktau nak cakap apa. Saya nak lepaskan tekanan sahaja lepas dapat kemenangan tadi. Saya pun menangis, saya bertahan dah lama,” katanya.
Sementara itu di rumah, ibu Leik Hou, Jap Joe Tjin meluahkan rasa bangga dengan pencapaian hebat anaknya.
“Tugas saya sebagai ibu sudah selesai apabila dia berjaya mendapat apa yang dia mahu. Daripada sekecil-kecil pertandingan sehinggalah ke peringkat tertinggi.
“Dia selalu berlatih bersungguh-sungguh dan saya sebagai ibu selalu memberikan sokongan pada dia,” jelas ibunya.
Manakala isterinya, Dewi Febriana pula sangat berpuas hati dengan pencapaian suaminya menghadiahkan emas kedua buat negara.
“Setiap hari dia beritahu dia akan berlatih dengan bersungguh, kalau dia penat pun dia akam bertahan dan kuat demi Tokyo Paralimpik 2020. Memang impian dia untuk mendapatkan emas di acara besar ini. Saya sangat senang dia mendapat emas pertama dalam acara ini,” ujarnya lagi.
Pada sebelah pagi, Liek Hou mengatasi pemain Taiwan, Fang Jen Yu 15-21, 21-10, 21-16 dalam aksi separuh akhir.