Pelakon Khir Rahman tidak dapat menahan air mata selepas membaca sebuah entri yang ditulis oleh anak lelakinya, Haqiqat Hamzah mengenai arwah datuknya, penyanyi Datuk A Rahman Hassan.

Menurut Khir, walaupun dirinya kelihatan tenang namun tidak dapat membendung perasaan kerana masih dalam keadaan terkejut serta belum dapat menerima hakikat.

"Ampun semua. Izinkanlah saya post yang ini..Abadikan di sini.

"Ianya mungkin simple dan tak memberi impak apa-apa bagi sesetengah orang. Tapi bagi saya besar sangat impaknya.

"Saya menangis dan menangis berulang kali membacanya. Ya menangis teruk sebak jadinya dada.

"Mungkin kerana saya belum izinkan hati ini melayan kepulangan arwah abah.

"Semua akan nampak saya tenang di mana-mana. Tapi saat membaca post anak saya baru kejap ni, tak saya tak mampu bendung. Ampun. Allahuakbar.

"Saya post di sini sebab saya yakin Haqi, 9 tahun cuma mahu sampaikan pada ramai orang.

"Tapi kesian follower dia takda. Aduhai. Jadi saya post di sini buat tatapan follower saya setakat yang ada. Ampun semua," tulisnya.

Selepas beberapa jam, menerusi sebuah entri terbaru di Instagram Stories miliknya Khir menekankan dia hanya terkesan dengan kata-kata yang ditulis oleh anak lelakinya.

Khir bertindak menjelaskan mengenai entri terbarunya itu kerana telah timbul salah faham.

"Berkenaan dengan post feed saya yang terkini usahlah disalah anggap.

"Sesungguhnya saya duduk di dalam reda malahan kukuh mental dan perasaan. Begitu didikan arwah abah.

"Saya hanya terkesan lalu 'rabak' dek post feed anak lelaki saya itu sahaja.

"Terima kasih atas doa dan kata-kata baik dari kalian," katanya.



Terdahulu, anak lelaki Khir Rahman, Haqiqat, 9, mengimbau kembali kenangan bersama arwah.

"Aqiq ingat lagi kitorang masa kecil dulu, arwah tokbah pernah tunjuk cerita lawak kat kitorang, tapi sekarang bukan macam dulu, sekarang dah tak sama, arwah tokbah dah takda, jadi semua tolonglah ya doakan arwah tokbah kitorang, tolong sedekahkan al-fatihah untuk tokbah. Terima kasih semua," luahnya.

Penyanyi era 1960-an, Datuk A Rahman Hassan meninggal dunia di Hospital Ampang, Kuala Lumpur kira-kira pukul 12.40 tengah malam akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan lemah jantung.