BERITA

"Saya Menyanyi Bukan Ingin Kejar Anugerah" - Ismail Izzani

Rozaimi Zubaidi 16/08/2019 | 03:15 MYT
Penyanyi Ismail Izzani mengakui bersyukur apabila muzik yang diketengahkan olehnya dapat diterima oleh orang ramai.
Menurut Ismail, sebagai seorang penyanyi dia tidak begitu mengejar anugerah atau meletakkan sasaran bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), sebaliknya dia mahu berkongsi karyanya dengan peminat menerusi lagu yang disampaikan.
"Bertanding di pentas AJL bukan matlamat saya. Sejujurnya, saya hanya ingin berkongsi karya dengan peminat.
"Saya menyanyi bukan ingin kejar anugerah tetapi kerana ingin kongsi bakat dengan orang ramai.
"Biarlah orang dapat menerima apa yang ingin disampaikan kerana untuk bertanding dalam sesuatu anugerah bukannya mudah," katanya kepada Gempak.
Ismail berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single baharunya berjudul Cinta di Forest Valley Hall, Cheras, baru-baru ini.
Tambah pelantun lagu Luar Biasa ini, dia menyifatkan penerimaan atau penyertaan di mana-mana acara anugerah sebagai satu bonus.
"Kalau lagu saya dapat masuk anugerah itu adalah bonus kerana buat masa sekarang saya tidak meletakkan apa-apa sasaran untuk ke arah itu.
"Fokus saya sekarang ini adalah untuk memberikan karya-karya yang terbaik buat pendengar," katanya lagi.
#Penyanyi #Penyanyi #Ismail Izzani