Bintang Hollywood, Rihanna tampil membuat permohonan maaf terbuka susulan penggunaan hadis dalam lagu pertunjukan fesyen pakaian dalam untuk jenama Savage x Fenty Beauty baru-baru ini.

BACA: Rihanna Dikecam Guna Petikan Hadis Jadikan Lagu Pertunjukan Pakaian Dalam

Jelas Rihanna, kesilapan itu merupakan kecuaian daripada pihaknya dan tidak berniat untuk menyinggung mana-mana agama terutamanya Islam.

"Saya berterima kasih kepada komuniti Muslim yang menegur kesilapan tidak sengaja ketika pertunjukan fesyen Savage x Fenty Beauty.

"Seikhlas hati saya ingin memohon maaf atas kecuaian ini. Kami faham kami telah menyinggung saudara Muslim dan saya sangat kecewa atas apa yang berlaku.

"Saya sentiasa menghormati agama lain jadi, penggunaan lagu terbabit dalam projek kami sangat tidak bertanggungjawab!" jelasnya menerusi kemaskini di Instagram Stories pada Selasa.

Rihanna juga akan memastikan insiden terbabit tidak akan berulang pada masa akan datang.

"Kami akan pastinya insiden sebegini berulang lagi pada masa akan datang. Terima kasih kerana memahami," tambahnya.

Terdahulu, sepotong video yang menggunakan lagu remix berjudul Doom ciptaan Coucou Chloe yang mengambil sampel hadis berkisar tentang hari kiamat digunakan untuk pertunjukan pakaian dalam jenama milik Rihanna.

Situasi itu telah mencetuskan kemarahan ramai yang menyifatkan pelantun lagu Umbrella itu tidak sensitif.

Selain Rihanna, pencipta lagu remix Doom, Coucou Chloe menerusi media sosialnya turut membuat permohonan maaf terbuka.

"Saya memohon maaf kepada pihak yang tersinggung atas sample vokal yang digunakan dalam lagu saya Doom.

"Lagu terbabit saya cipta daripada trek Baile Funk yang saya temui secara atas talian. Pada waktu itu saya tidak perasan sample lagu itu menggunakan petikan daripada hadis.



"Saya bertanggungjawab sepenuhnya kerana tidak membuat kajian secara terperinci dan saya berterima kasih kepada pihak yang telah menerangkan perkara sebenar kepada saya.

"Kami dalam proses untuk memadamkan lagu terbabit di semua platform penstriman lagu," katanya.

Meski demikian, masih banyak netizen yang marah dengan mengatakan dia seperti sengaja meletakkan lagu tersebut dan seharusnya lebih bertanggungjawab dalam setiap perbuatan yang dilakukan.

Kredit Foto: Getty Images
Instagram: @badriri, @coucouchloe