Laman Utama
“Saya Minta Maaf Kepada Rakyat Malaysia…” – Ziyad Zolkefli
Susulan protes yang menyebabkan pingat emas yang dimenangi Muhammad Ziyad Zolkefli dibatalkan, atlet paralimpik negara itu tampil memohon maaf kepada rakyat Malaysia.
Ziyad menerusi hantaran di laman sosial Instagram (IG) pagi tadi turut mengucapkan terima kasih kepada sokongan yang diberikan terhadapnya.
“Maafkan saya. Saya minta maaf kepada semua rakyat Malaysia. Terima kasih memberi sokongan pada saya,” katanya.
Hantaran tersebut yang menerima lebih 17,400 tanda suka dan hampir 2,000 komen daripada pengguna laman sosial terbabit turut mendapat perhatian Menteri Kesihatan yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Khairy menerusi ruangan komen memberikan kata-kata semangat dan positif kepada jaguh lontar peluru para negara itu.
“Tak perlu nak minta maaf, Yad. Keputusan yang tidak adil. Awak paling hebat dalam dunia. Awak luarbiasa. Teruskan,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menulis ciapan di Twitter mengakui seluruh negara berbangga dengan pencapaian Ziyad sekalipun pingat emas yang dimenanginya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 masih belum 'dipulangkan.'
Ismail Sabri menyifatkan betapa Ziyad tetap juara di hati seluruh rakyat Malaysia khususnya menerusi kejayaan memecahkan rekod dunia dengan catatan 17.94 meter (m).
"Kepada Ziyad, anda tetap juara di hati kami, memecahkan rekod dunia adalah perkara yang luar biasa! Saya dan Keluarga Malaysia sangat berbangga dengan anda!
"Sama-samalah kita berdoa agar kemenangan pingat emas kekal di tangan Malaysia #malaysiaboleh #letlogicprevail ," kata Ismail Sabri.
Terdahulu, kejayaan Ziyad meraih pingat emas dalam acara lontar peluru F20 'dirompak' oleh protes yang dilakukan oleh kem Ukraine pada pentas final di Tokyo.
Difahamkan, kem Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat untuk memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.
Protes itu membolehkan Ukraine merangkul pingat emas dan perak masing masing menerusi Maksym Koval dengan catatan 17.34 m dan Oleksandr Yarovyi (17.30m).
Kontroversi tersebut menyebabkan ‘tentera bawang' Malaysia terus berkerumun dan meninggalkan komen di laman media sosial yang memiliki kaitan dengan negara itu.