Pelakon dan pengarah Fadzil Zahari mengambil pendekatan untuk tidak mengulas panjang mengenai kes yang melibatkan abangnya, Datuk Farid Kamil.

Farid dijatuhkan hukuman penjara 13 bulan kerana menggunakan kekerasan jenayah dan mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap seorang anggota polis dengan niat untuk menghalangnya melakukan tugas pada dua tahun lalu.

Ketika dihubungi Gempak, Fadzil memohon maaf kerana tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan buat masa sekarang.

"Saya minta maaf ya tak dapat komen buat masa ini," katanya menerusi kiriman Whatsapp awal pagi tadi.

Terdahulu, mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula hari ini dan mengarahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara berasingan dengan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan terhadapnya sebelum ini bagi kesalahan menggunakan dadah jenis ganja THC atau Tetra Hydrocannibol.

Nor Ariffin menjatuhkan hukuman terhadap pelakon filem J Revolusi itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah turut memerintah tertuduh membayar kos pendakwaan sebanyak RM5,000 atau menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar kos berkenaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan Farid menangguhkan pelaksanaan hukuman itu dengan jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin sementara peguamnya memfailkan rayuan.

BACA: Guna Kekerasan Jenayah, Keluarkan Perkataan Tidak Sopan Terhadap Anggota Polis, Farid Kamil Dijatuhkan Hukuman Penjara 13 bulan