“Saya Mungkin Kena Sakit Jiwa” - Uncle Kentang
26/10/2021 00:50 MYT
Aktivis sosial Kuan Chee Hen atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang membuat pendedahan mengejut apabila dia berisiko untuk mengalami masalah mental.
Perkara itu dimaklumkan Kuan sendiri menerusi satu posting di Facebook miliknya.
Menurutnya, doktor telah memberi bayang dia berkemungkinan akan mengalami sakit jiwa jika masih menjawab panggilan telefon.
“Hotline kami 03-80656666. Doktor pesan saya mungkin kena penyakit sakit jiwa jika saya continue listen to phone calls.
“Satu hari tak kurang 100 phone calls masuk dengan pelbagai masalah.
“Satu lagi adalah WhatsApp mesej. Daripada kena rogol, kena dera, kena tinggal suami, sehinggalah masalah pinjaman Ahlong atau kes bunuh diri.
“Adui doktor suruh saya rehat,” katanya.
Tambahnya, dia juga mengambil keputusan untuk menutup telefon miliknya dalam tempoh 30 hari.
“Hanya handphone emergency sahaja dibuka untuk kes kemalangan. Saya cuba tenangkan diri sebelum balik berkhidmat,” katanya.
Sekadar info, Kuan mula dikenali apabila banyak membantu golongan susah dengan memperkenalkan pelbagai idea dan inisiatif baharu.
Antara cetusan idea Kuan yang popular termasuklah barangan keperluan harian 10 sen, perkhidmatan teksi 10 sen dan rumah transit yang mengenakan bayaran RM1 sehari.
Semua ini merupakan sebahagian daripada usaha murni Kuan yang juga pengasas Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia iaitu sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang membantu golongan kurang bernasib baik.