Hiburan
“Saya Nak Berhenti Menyanyi, Ustaz Kata Jangan Kerana…”-Ali XPDC Lebih Tenang Selepas Berhijrah
Vokalis XPDC, Ali akui pernah terfikir untuk meninggalkan karier nyanyian sebaik sahaja dia berhijrah dan mendalami ilmu agama sejak lima tahun lalu.
Pun begitu, niatnya itu tidak diteruskan apabila Ali atau nama sebenar Mohd Ali Ismail mengambil kira nasihat daripada seorang ustaz.
“Saya sekarang selesa begini, banyak menyertai aktiviti agama dan program dakwah.
“Saya pernah beritahu seorang ustaz yang sama mahu berhenti menyanyi tapi ustaz itu kata jangan kerana katanya bakat nyanyian yang saya ada ini adalah anugerah daripada Tuhan dan saya masih boleh berdakwah melaluinya.
“Selepas mengambil kira nasihat seorang ustaz yang meminta dipertimbangkan keputusan itu, saya cuba memahaminya," katanya kepada Gempak.
Kini, Ali yang popular dengan lagu Bunga Angkasa itu memberitahu jiwanya lebih tenang selepas menyertai aktiviti keagamaan dan program dakwah.
"Jiwa saya sangat tenang dan selesa berjumpa orang dan berdakwah. Malah saya akan sertainya hampir setiap minggu.
"Sekarang ini cabaran penghijrahan seakan dipermudahkan walaupun ramai yang mengenali dan mengetahui latar belakang saya sebagai penyanyi rock," katanya.
Mengenai perkembangan lain Ali akan terbabit dalam persembahan amal Artis Legenda 90-an (2.0) di Kuala Lumpur pada 31 Januari 2020 nanti.
Selain Ali, persembahan amal itu turut disertai penyanyi lain seperti Ameng Spring, Nizam Laksamana, Amir Ukays, Gmie Screen, Sham Visa, Zarul Umbrella dan penyanyi popular, Khai Bahar.