Berita
"Saya Nak Cari Orang Lebih Bagus Menyanyi Daripada Saya" - Man Bai
Segelintir penyanyi tidak kisah sama ada menyanyi secara minus one tapi tidak bagi penyanyi popular, Man Bai yang lebih selesa memilih akustik ketika membuat persembahan pentas.
Akuinya, menyanyi secara akustik memberi lebih kepuasan padanya.
"Alhamdulillah, saya masih terima tawaran untuk persembahan nyanyian. Bayaran juga okey.
"Banyak persembahan yang nak saya guna minus one tapi saya tak ambil. Begitu juga lagu Kau ilhamku dan lagu-lagu popular kumpulan Gersang masih menjadi permintaan ramai," katanya kepada Astro Gempak.
Nyata, pengalaman Man Bai sebagai penyanyi suatu yang cukup bernilai untuk dikongsi bersama bakat baru.
Berita baik buat mereka yang ingin jadi penyanyi sehebat Man Bai boleh mencuba nasib dalam ujibakat yang akan dijalankan bermula 4 November ini. (Baca lagi: Ganjaran Kontrak Rakaman Bersama Elaun Untuk Penyanyi Baru)
Man Bai memberitahu dia mengharapkan ada bakat baru yang menyerlah dan bukan datang sekadar menyanyi.
"Saya harap yang datang ujibakat ini dapat menyanyi dengan baik untuk masa depan yang bagus.
"Peluang ini untuk pergi ke Asia Tenggara dan bukan hanya fokus di sini." katanya.
Akuinya, kita sebenarnya mempunyai ramai individu yang berbakat dalam bidang nyanyian.
"Tapi saya pilih mereka yang ada 'outstanding'. Dia bukan sekadar penyanyi sebaliknya mungkin boleh buat lagu sendiri dari jiwanya dan tidak hanya menyanyi lagu orang lain.
"Lagu itu mungkin cerita tetang dirinya atau orang lain. Saya kena pilih bakat macam itu yang berkebolehan sebagai komposer dan dari situ kita tahu dia 'multi talented' bukan sekadar menyanyi," katanya.
Dalam usaha mengasah bakat peserta ini, Man Bai juga menyatakan dia bertanggungjawab dalam melatih peserta yang terpilih itu sehingga popular.
Baginya, dia tidak pandang populariti peserta itu di media sosial seperti YouTube mahupun Instagram (IG) sebagai kelebihan untuk terpilih menjadi penyanyi di bawah label Our Records.
"Jika dia popular di YouTube, buat apa nak masuk uji bakat ini. Walaupun dia bagus di situ belum tentu dia bagus pada pandangan saya," katanya.
PROSES LATIHAN MAKAN MASA
Man Bai berpandangan kebanyakan artis baru pada masa kini lebih bersikap terikut-ikut dengan orang lain untuk jadi penyanyi.
"Seperti dalam satu keluarga apabila ibu bapa puji dia boleh menyanyi, dia dah kembang dan mula berangan dan pratis mahu menyanyi.
"Memang semua orang boleh menyanyi tapi saya pun nak mencari orang yang lebih bagus menyanyi daripada saya bukan setakat boleh menyanyi dan mencipta nama tapi orang yang lebih 'outstanding' daripada artis-artis di Malaysia," katanya.
Ujarnya, proses mendapat dan melatih peserta yang digilap bakat menjadi penyanyi perlu mengambil masa.
"Ia bukan sehari dua atau dua tiga bulan. Saya cakap pada label ia makan masa selagi tak dapat apa yang jiwa saya nak selagi itu saya terus mencari.
"Pada saya genre lagu tiada masalah tapi uji bakat itu memperlihatkan dia boleh buat lagu sendiri," katanya.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Astro Gempak
Must-Watch Video